Thursday, July 17, 2025

Kekayaan Spiritual: Dr Raihaniah Zakaria

 

TIPS-TIPS  UNTUK MENGUAT DAN MENGUKUHKAN DIMENSI SPIRITUAL

Islam,  iman dan ihsan  adalah punca kepada kekuatan spiritual dalam diri manusia.

1.               Ruh Menjadi Kuat Dengan Iman

Hati yang dipenuhi dengan keimanan kepada Allah S.W.T tidak mungkin dihinggapi penyakit hasad atau jenis penyakit jiwa yang lain. Rasa iman kepada Allah, ikhlas dalam menjalankan ibadat, berpegang teguh kepada agama Allah, redha terhadap ketentuan takdir  akan dapat membebaskan seorang mukmin dari rasa cemas takut dan putus asa. Mereka merasa bahagia dengan janji Allah S.W.T:

 

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُواْ يَعْمَلُونَ ‌

Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.

(Surah al-Nahl 16: 97)

Dunia ini merupakan medan ujian kepada manusia. Ia menjadi tempat manusia menanam bagi memungut hasilnya di akhirat iaitu syurga. tempat asal yang diciptakan Allah S.W.T untuk manusia. Orang yang beriman dengan sebenar-benar iman akan menerima segala bentuk ujian yang ditimpakan kepada mereka dengan redha dan berserah diri kepada Allah S.W.T. Mereka meyakini bahawa segala bentuk ujian adalah untuk membawa mereka kepada Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

Tiap-tiap diri akan merasai mati dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.

Surah al-Anbiya’ (21):35

Menurut al-Ghazali , qadha dan qadar Allah S.W.T berlaku dalam empat perspektif iaitu (1) qadha untuk melakukan ketaatan (2) qadha untuk melakukan kemaksiatan (3) qadha untuk memberi kenikmatan (4) qadha untuk menimpakan musibah.

Menurut al-Ghazali, bila Allah S.W.T memutuskan ketaatan kepada hamba, maka ia mesti menerimanya dengan kesungguhan dan keikhlasan supaya Allah S.W.T memuliakannya dengan taufik dan hidayah Firman Allah S.W.T:

 

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ ‌

Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.

Surah al-Ankabut (29): 69

 

Apabila Allah S.W.T telah menetapkan seseorang hamba untuk berbuat maksiat, maka ia mesti menghadapinya dengan istighfar, taubat dan penyesalan dari lubuk hatinya. Allah S.W.T berfirman:

 

إِنَّ اللّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat , dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

Surah al-Baqarah (1):222

Sabda Rasulullah S.A.W:

كلُّ بني آدمَ خطَّاءٌ ، وخيرُ الخطَّائينَ التَّوَّابونَ

Maksudnya:

Setiap anak Adam melakukan kesilapan. Sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan ialah mereka yang bertaubat.

 

Apabila Allah S.W.T telah menetapkan suatu kenikmatan, maka seseorang hamba itu harus menyambutnya dengan rasa syukur dan kedermawanan supaya Allah S.W.T memuliakannya dengan tambahan nikmat. Firman Allah S.W.T:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ ‌

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.

Surah Ibrahim (14): 7

Apabila Allah S.W.T telah menetapkan suatu musibah, maka seseorang hamba itu mesti menghadapinya dengan sabar dan rela, agar Allah S.W.T memberinya kemuliaan di akhirat kelak. Firman Allah S.W.T:

 

قُلْ يَا عِبَادِ الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا رَبَّكُمْ لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا فِي هَذِهِ الدُّنْيَا حَسَنَةٌ وَأَرْضُ اللَّهِ وَاسِعَةٌ إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُم بِغَيْرِ حِسَابٍ

Katakanlah (wahai Muhammad, akan firmanKu ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Bertakwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat) dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.

Surah al-Zumar (39):10

Allah S.W.T memuji orang-orang beriman yang sentiasa redha menerima ketentuan dan takdir Allah S.W.T dengan penerimaan yang sentiasa positif dan berbaik sangka dengan Allah S.W.T. Sabda Rasulullah S.A.W:

 

عَجِبْتُ لأمرِ المؤمنِ ، إنَّ أمرَهُ كُلَّهُ خيرٌ ، إن أصابَهُ ما يحبُّ حمدَ اللَّهَ وَكانَ لَهُ خيرٌ ، وإن أصابَهُ ما يَكْرَهُ فصبرَ كانَ لَهُ خيرٌ ، وليسَ كلُّ أحدٍ أمرُهُ كلُّهُ خيرٌ إلَّا المؤمن

Maksudnya: Aku merasa takjub dengan segala urusan orang mukmin. Semua perkara yang berlaku kepada mereka adalah baik. Jika mereka dikurniakan dengan apa yang mereka sukai dan inginkan mereka bersyukur pada Allah , maka ianya adalah bagi mereka. Jika mereka ditimpa dengan musibah yang tidak disukai merkea bersikap sabar, maka itu adalah baik bagi mereka. Dan tidak diberikan kepada sesiapa sesuatu perkara di atas dunia ini yang semuanya baik kecuali apa yang berlaku kepada orang-orang mukmin.

 

Al-Qur’an sentiasa memberi motivasi positif kepada manusia supaya sentiasa menerima segala takdir dan ketentuan Allah S.W.T dengan redha dan sabar. Firman Allah S.W.T:

 

وَاصْبِرْ عَلَى مَا أَصَابَكَ إِنَّ ذَلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ ‌

dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.

Surah Luqman (31): 17

Firman Allah S.W.T:

 

قُل لَّن يُصِيبَنَا إِلاَّ مَا كَتَبَ اللّهُ لَنَا هُوَ مَوْلاَنَا وَعَلَى اللّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ ‌

Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.

 

Surah al-Taubah (9):51





2.    Ruh Akan Kuat Dengan Sifat Ihsan

Dari sudut bahasa perkataan ihsan berasal dari bahasa Arab yang diambil dari kalimah husn yang merujuk kepada kualiti sesuatu yang baik dan indah. Perlakuan yang baik dan indah ini hendaklah dilakukan secara terus menerus dan ikhlas. Nabi Muhammad S.A.W mentakrifkan ihsan sebagai melakukan ibadat kepada Allah seolah-olah engkau melihat Allah S.W.T. Jika engkau tidak melihatnya maka sesungguhnya la melihat kamu. Pengertian ibadat bukan semata-mata ibadat yang khusus solat puasa dan sebagainya bahkan ia merangkumi seluruh kerja buat kita seperti pekerjaan kita mencari rezeki. Kerana itulah Rasulullah S.A.W pernah bersabda:

 

إنَّ منَ الذُّنوبِ ذنوبًا لا يُكفِّرُها الصَّلاةُ ولا الصِّيامُ ولا الحجُّ ولا العُمرةُ ، قالوا : فما يُكفِّرُها يا رسولَ اللَّهِ ؟ قال : الهمومُ في طلبِ المعيشة

Maksudnya: Ada di antara dosa itu yang tidak dapat ditebus melalui solat, puasa, haji mahupun umrah.. Mendengar itu para sahabat bertanya "Kalau begitu ibadat yang manakah yang boleh menebusnya? Jawab baginda "Kesungguhan bekerja untuk menyara kehidupan.[i]

Dalam konteks pekerjaan sebagai guru, maka seorang insan guru sama ada yang mengajar di tadika, sekolah rendah, sekolah menengah atau institut pengajian tinggi atau dimana-mana sahaja, tidak disebut ihsan kalau dia hanya mengerjakan yang rutin sahaja tetapi akan mendapat makam ihsan kalau dia mahir dalam pekerjaannya, kreatif, bagus hasilnya, menyenangkan rakan sekerjanya, memenuhi hajat murid-muridnya dan juga masyarakat sekelilingnya serta selalu ingat kepada Allah yang memberi kesempatan baginya untuk bekerja mencari rezeki. Ia bekerja dengan perasaan diawasi dan selalu bersama Allah. Manfaat ihsan itu akan kembali kepada tuan yang melakukannya. Firman Allah S.W.T:

إِنْ أَحْسَنتُمْ أَحْسَنتُمْ لِأَنفُسِكُمْ وَإِنْ أَسَأْتُمْ فَلَهَا

Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.                                                                                                    (Surah al-Isra’ 17:7)

Orang yang bersifat ihsan dan suka berbuat baik kepada orang lain amat dikasihi Allah S.W.T. Perkataan  ihsan dan muhsin (orang yang mengerjakan sesuatu yang indah dan baik) disebut oleh Allah di dalam al-Qur'an sebanyak 70 kali. Ianya menggambarkan betapa pentingnya kita manusia memakai sifat-sifat ini dalam kehidupan. Firman Allah S.W.T:

وَأَنفِقُواْ فِي سَبِيلِ اللّهِ وَلاَ تُلْقُواْ بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ وَأَحْسِنُوَاْ إِنَّ اللّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Belanjakan (harta kamu) untuk jalan Allah dan janganlah kamu menjerumuskan diri ke dalam kebinasaan. Buatlah kebaikan, sesungguhnya Allah suka kepada orang yang berbuat baik.

(Surah al-Baqarah, 2:195)




3.               Ruh Menjadi Kuat Dengan Ibadat

Beribadat dan bcrzikir akan dapat membersih dan mennjernihkan jiwa  manusia. Kebersihan dan kejernihan jiwa tersebut akan memberikan kekuatan kepada dimensi spiritual atau ruh manusia. Kekuatan  spiritual tersebut akan membebaskan dimensi material manusia dari berbagai simpulan yang membelenggunya. Seketika itu manusia mampu memahami ,hal yang tidak mampu difahaminya ketika dia sedang sibuk dengan berbagai urusan duniawi. Menurut Ibn Khaldun, latihan-latihan kerohanian, khalwah, zikir dan doa merupakan makanan kepada roh. Apabila roh menjadi kuat, tirai perasaan akan tersingkap dan roh akan menyedari kewujudannya yang sebenar. la akan memahami sifat-sifat Allah S.W.T., mendapat bahagian dari ilmunya, menerima rahmat yang khusus, bahkan roh akan dapat mencapai tingkatan malaikat.

Dalam keadaan jiwa yang jernih dan  bersih roh akan terbebas dari ikatan fizikal yang membolehkannya bergerak bebas. Dalam kondisi seperti ini, roh akan mampu melihat dan mendengar sesuatu yang sangat jauh dan mampu menangkap hal-hal yang berada di alam metafizik. Kemampuan roh ini dalam tradisi Islam antara lainnya dikenali dengan ilham (ilmu yang dicampakkan Allah ke dalam jiwa), kasyaf (pembukaan alam ghaib), firasat, ru'ya (mimpi yang benar) dan sebagainya.

Menurut Ibn Qayyim al-Jawziyyah dalam karya hebatnya berkenaan dengan pendidikan iaitu Miftah Dar al-Sa’adah, kekuatan ruh manusia akan terhasil dari  iman kepada Allah S.W.T diikuti dengan ibadah yang tulus ikhlas, konsisten serta bersesuaian dengan al-Quran dan al-Sunnah.  Ibn Qayyim al-Jawziyyah  menyatakan,  antara amalan yang dapat menguatkan ruh dengan hebat ialah dengan membaca al-Quran secara tafakur dan tadabbur. Cara mentadabbur al-Quran ialah dengan mengulang-ulang membaca al-Quran dengan diringi tafakur yang mendalam. Apabila ia melewati  ayat yang kebetulan dia perlukan untuk kesembuhan hatinya, maka ia mengulang-ulangnya meski pun sampai seratus kali atau sepanjang malam. Menurut Ibn Qayyim al-Jawziyyah, Nabi Muhammad s.a.w sendiri pernah solat tahajud dengan membaca satu ayat yang beliau ulang sampai pagi iaitu ayat 118 surah al-Ma’idah.[ii] Ibn Qayyim al-Jawziyyah menjelaskan bahawa membaca satu ayat dengan tafakur dan tadabbur lebih baik daripada mengkhatamkan al-Quran tanpa tadabur. Bacaan tafakur dan tadabur lebih bermanfaat kepada hati, lebih mendatangkan iman dan menciptakan rasa halawat atau manisnya al-Quran di dalam hati.[iii]

Ibn Qayyim al-Jawziyyah selanjutnya menjelaskan bahawa membaca dengan tadabur adalah inti  kepada semua tingkatan dan maqam orang-orang arif.  Pembacaan tersebut menimbulkan rasa cinta (hubb), kerinduan (shawq), takut (khauf), harap (raja’), taubat, tawakkal, syukur, sabar dan sifat-sifat lain yang mengindikasikan hidupnya hati.  Orang yang memiliki hati yang hidup akan dapat melihat sesuatu dengan mata hatinya. Dalam hal ini beliau menulis tentang keajaiban penglihatan mata hati manusia:

 

فتفتح له ابواب السماء فيجول في اقطارها وملكوتها وبين ملائكتها ثم يفتح له باب بعد باب حتى ينتهي به سير القلب إلى عرش الرحمن فينظر سعته وعظمته وجلاله ومجده ورفعته ويرى السموات السبع والارضين السبع بالنسبة اليه كحلقه ملقاة بأرض فلاة ويرى الملائكة حافين من حوله لهم زجل بالتسبيح والتحميد والتقديس  والتكبير والامر ينزل من فوقه بتدبير الممالك والجنود التي لا يعلمها الا ربها   

“ …Orang yang melihat dengan mata hati, sehingga pintu-pintu langit terbuka dan ia berkelana dipenjuru kerajaan langit diantara para malaikat. Pintu demi pintu terbuka hingga sampai perjalanan hatinya ke ‘Arasy. Ia menyaksikan keluasannya, keagungannya, kebesarannya dan ketinggiannya. Dia melihat ketujuh langit dan ketujuh lapisan bumi itu jika dibandingkan dengan Arasy seperti satu butir tasbih yang terbuang dipadang maha luas.

 

Falsafah Barat tidak mengakui perkara ghaib sebagai sumber ilmu. Oleh itu, dalam kajian Barat, mereka mengklasifikasikannya sebagai ilmu parapsikologi dengan menyebutnya sebagai  Extra-Sensory Perception (ESP), iaitu perolehan pengetahuan tanpa     melalui pancaindera. Antara jenis ESP ialah telepathy (mengetahui dan merasakan dari jauh), spiritualisme (mendatangkan ruh), Magnetisme (peniduran magnetic), mind reading (mengetahui fikiran orang lain), dream interpretation (pentafsiran mimpi), precognition (mengetahui masa depan), psychometry (Mengetahui seseorang dengan menyentuh barang yang berhubung dengannya).

Ibn Khaldun dalam karya agungnya al-Muqaddimah menjelaskan bahawa perbezaan di antara latihan kerohanian yang diamalkan oleh para agamawan selain dari Islam ialah Zikrullah. Tanpa zikir sebagaimana yang selain dari ajaran Islam ia lebih mirip kepada sihir dan pekerjaan syaitan, manakala pengalaman-pengalaman ghaib yang dialami oleh mereka adalah merupakan bisikan-bisikan syaitan.[vii] Menurut Ibn Khaldun lagi, pengalaman-pengalaman ghaib atau kasyf yang didapati oleh para ahli sihir, para yogis, tukang tenun dan para rahib Kristian dan lain-lain adalah fenomena biasa yang dialami oleh mereka yang menjalani latihan-latihan kerohanian dengan berkhalwat atau mengasingkan diri dan  berlapar. Mereka dapat melakukan perkara-perkara yang pelik dan luarbiasa, bahkan mereka ini mempunyai kitab khusus yang mengajarkan cara-cara untuk mendapatkan ilmu ghaib ini.  Para sahabat Nabi Muhammad S.A.W adalah mereka yang  terkenal sebagai hamba Allah yang paling hebat melakukan mujahadah dan zikrullah, mereka juga sebenarnya mendapat bahagian daripada karamah yang melimpah ruah. Namun demikian mereka tidak menganggap tinggi kasyf ini. Bahkan mereka menganggapkan pengalaman kasyf adalah sebagai ujian. Bagi mereka,  terbukanya kasyf atau tabir kepada perkara-perkara ghaib bukanlah hal yang benar dan sempurna melainkan jika ianya terhasil daripada keikhlasan dan ketulusan hati dalam beribadat kepada Allah S.W.T.[

Hakikatnya semua manusia sama ada muslim ataupun tidak mendambakan hati yang tenang dan jiwa yang kuat dalam menghadapi segala cabaran hidup. Yoga, meditasi, mantera, jampi adalah antara bentuk-bentuk latihan kerohanian yang diamalkan oleh manusia untuk mencari ketenangan dan kekuatan hati. Latihan-latihan kerohanian ini boleh menyingkap perkara-perkara supernatural yang diluar dari kemampuan manusia biasa. Rasulullah S.A.W pernah menyatakan bahawa manusia mampu melihat perkara ghaib jika mempunyai hati yang bersih. Ketidakmampuan manusia melihat yang ghaib adalah kerana  dihalang oleh syaitan.

Sabda Rasulullah S.A.W:

رأيتُ ليلةَ أُسْرِى بي , لما انتهينَا إلى السماءِ السابِعَةِ , فنظرتُ فوقِي , فإذا أنا برعْدٍ وبرقٍ وصواعقَ , قال: وأتيتُ على قومٍ بُطُونِهِم كالبيوتِ فيها الحيَّاتُ تُرى من خارجِ بطونِهم , قلتُ: مَن هؤلاءِ يا جبريلُ ؟ قال: هؤلاءِ أكَلَةِ الرِّبَا. فلما نزلتُ إلى السماءِ الدنيا فنظرتُ إلى أسفلَ مِني , فإذا أنا بِرَهَجٍ ودُخَانٍ وأصواتٍ , فقلت: ما هذا يا جبريلُ ؟ قال: هذه الشياطينُ يُحَرِّفُونَ على أعينِ بنِي آدمَ أن لا يَتَفَكَّرُوا في ملكوتِ السمواتِ والأرضِ , ولولا ذلك لرَأَوُا العَجَائِبَ
Pada malam peristiwa isra’ aku diperlihatkan beberapa perkara. Ketika sampai kelangit ketujuh aku telah melihat di atasku kilat petir dan suara tempikan yang dahsyat. Disana kelihatan  satu kaum yang perutnya seperti rumah, didalamnya terlihat ular-ular yang keluar daripada perut mereka. Aku bertanya Jibril. Siapakah mereka ini. Jibril berkata inilah pemakan riba. Ketika aku turun kelangit dunia aku melihat kebawah. Aku dapati ada selaput, asap dan suara-suara. Aku bertanya Jibril apakah ini. Jibril berkata inilah syaitan yang mengelirukan mata manusia supaya tidak berfikir tentang kerajaan langit dan bumi. Sekiranya manusia memikirkan tentang kekuasaan kerajaan langit dan bumi nescaya mereka akan dapat melihat perkara-perkara yang mena’jubkan


3.1  Ruh Kuat  Dengan Ibadat Solat.

Karakter atau tabiat serta kebiasaan dapat dibentuk melalui proses pengulangan yang berterusan. Menurut Ary Ginanjar, seorang tokoh motivasi dari Indonesia, pembentukan karakter manusia unggul memerlukan RMP ((Repetitive Magic Power) atau pengulangan yang terus menerus. Dalam RMP energi potensi yang maha dahsyat yang berada dalam diri setiap manusia (dalam God Spotnya)  diubah menjadi tenaga kinetik secara berulang-ulang sehingga menghasilkan sebuah karakter manusia yang  hebat. [i] Menurut beliau Allah S.W.T telah mengajarkan kepada manusia metode ini melalui solat yang mengandungi prinsip dan kaedah pengulangan  yang maha hebat sebagaimana berikut:

1.                Perbuatan yang diulang-ulang

1

Qiyam (34 kali)

: Melatih sikap percaya kepada keupayaan diri

2

Ruku’  (17 kali)

: Melatih kerendahan hati.

3

I'tidal  (17 kali)

: Melatih untuk bersikap teguh dan bangkit kembali

4

Sujud  (34 kali)

: Melatih untuk selalu mengabdi hanya kepadaNya.

     

2.                Ucapan yang diulang-Ulang

1

Takbir      (94 kali)

Menyebut kebesaran Allah S.W.T Menghasilkan

 semangat

2

Tasbih       (51 kali)

Menyebut kesucian Allah S.W.T menghasilkan

 kejernihan      

3

Tawajuh      (5 kali)

Menyebut doktrin tauhid, menghasilkan prinsip.

4

Al-Fatihah(17 kali)     

Evaluasi diri atau muhasabah

5

Surah        (10 Kali)

Sesuai keperluan dan situasi

6

Sami'allah  (17 kali)

Maha Mendengar, menghasilkan sikap empati

7

Rabbana   (17 kali)

Menyebut ketinggiannya, menghasilkan

keikhlasan

8

Doa duduk  (17 kali)

Menekankan pentingnya darjat, rezeki dan       kesihatan  sebagai alat dan bekal  dalam perjuangan.

9

Attahiyyat   (9 kali)

Mengakui keberkatan milik Allah S.W.T.

menghasilkan  rasa ikhlas.

10

Assalam      (9 kali)

Menyebarkan kedamaian

11

Syahadat     (9 kali)

Membangun komitmen dan misi.

12

Selawat       (9 Kali)

Sikap berterima kasih

13

Taslim         (5 kali)

Sikap perihatin kepada orang di sekelilingnya [ii]

 

                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                         Syaikh Dawud al-Fatani mengungkapkan perbuatan solat sebagai perbuatan yang sangat besar dan mulia dalam menghubungkan manusia dengan Allah S.W.T. Perbuatan-perbuatan dalam solat menggambarkan sesuatu jalinan yang hebat antara manusia dengan Allah S.W.T:

 

Berdiri ( وقوف)

tanda merendahkan diri kepada Allah  S.W.T.(تذللا)

Takbir

penyerahan diri kepada Allah S.W.T (تسليم)

Pujian ((ثناء dan bacaan) (تلاوة

adalah menghina diri di hadapan Allah S.W.T

(تبذلا)

Ruku’

merupakan tanda tunduk dan patuh (خضوع)

Sujud

merupakan khushu(خشوع)

Duduk

merupakan gemar (ترغب)

Tasyahud

merupakan lambang rindu dendam( تملق )[iii] 

 

Ibn ‘Ataillah dalam karya al-Hikam menggambarkan perbuatan solat sebagai  penyucian hati dari kekotoran dan pembuka pintu ghaib:

الصلاة طهرة للقلوب من أدناس الذنوب ، واستفتاح لباب الغيوب  الصلاة محل المناجاة ومعدن المصافاة تتسع فيها ميادين الأسرار وتشرق شوارق الأنوار

Maksudnya: Solat itu sebagai penyucian hati dari kekotoran dosa, serta pembuka pintu ghaib. Ia menjadi tempat munajat dan menyampaikan hajat. Serta memanjatkan puji syukur. Dan sebagai tempat pembersihan hati dari berbagai kekotoran. Terbuka bebas di dalamnya. Datangnya berbagai rahsia-rahsia Tuhan. Dan terbit terang padanya cahaya-cahaya ilmu dan makrifat.

Menurut Ibn  Ata’illah,  solat adalah tempat munajat kepada Allah S.W.T dimana  di dalamnya menjadi saluran kepada hamba Allah S.W.T menyatakan hajat, menyatakan kesyukuran serta membersihkan kekotoran hatinya. Di dalam solat Allah S.W.T membukakan kepada manusia dengan berbagai-bagai rahsia ketuhanan dan terbit terang cahaya-cahaya ilmu dan makrifat. Ibn Ata’illah seterusnya menyatakan bahawa solat lima waktu adalah rahmat kasihan belas Allah S.W.T kepada hamba-hambanya yang beriman. Ia seumpama hidangan supaya seseorang hamba itu dapat merasakan pada tiap bacaan dan gerakkannya itu adalah kurnian dan pemberian-pemberian Allah S.W.T. Gerakan tubuhnya sebagai makanan, manakala bacaan-bacaannya bagaikan minuman. Hidangan tersebut disediakan oleh Allah S.W.T lima kali sehari semalam supaya tidak ada lagi sisa kotoran dan debu pada hambanya yang bertauhid.[iv]

Sesungguhnya begitu hebat sekali prinsip dan kaedah solat dalam membentuk peribadi yang cemerlang. Solat yang dilakukan dengan sempurna dan berulang-ulang ini  akan membentuk hamba Allah yang hebat melalui:

1.      Peningkatan perasaan ubudiyyah kerana dengan bersolat akan mengingatkan manusia             tentang kedudukan mereka sebagai hamba kepada Allah S.W.T

2.    Hamba Allah yang sentiasa bertaubat. Solat yang dilakukan secara berterusan dapat       membersihkan dosa-dosa dan kecenderungan kepada maksiat.

3.        Hamba Allah yang sentiasa bersyukur.

4.    Solat dapat mengukuhkan akidah, kerana solat yang berterusan adalah pengisian  dan makanan yang berterusan kepada akidah dan keyakinan diri kita kepada Allah S.W.T.

5.        Solat mengalakkan rasa cinta untuk menuntut ilmu. Islam mewajibkan setiap orang yang            melakukan solat agar mematuhi segala rukun dan syarat sah solat. Untuk memenuhi                    semua  spesifikasi yang sangat ketat ini seorang muslim tidak mempunyai pilihan lain                melainkan mempelajarinya dengan bersungguh-sungguh.

6.        Pengurusan masa, Ibadat solat mengajar manusia tentang pengurusan masa dan peka                 kepada perubahan waktu.

7.        Kebersihan diri zahir dan batin melalui bersuci dan berwudhuk, serta kebersihan pakaian         dan tempat tinggal.

8.        Kesihatan fizikal.Pergerakan solat yang menggunakan seluruh anggota badan seumpama           senaman fizikal yang mamp mengerakkan kehidupan manusia

9.        Latihan kepimpinan. Solat mengajar manusia tentang sifat kepimpinan dan menghormati           pemimpin melalui solat berjemaah.

10.    Menutup aurat, solat mengajar manusia untuk melahirkan rasa malu kepada Allah S.W.T           dengan menutup aurat secara sempurna.

Namun demikian mengapakah hasil yang ada dalam keperibadian majoriti umat Islam tidak mencerminkan kehebatannya?. Begitu ramai orang yang solat tetapi umat tetap seperti buih tiada kekuatan, tiada jati diri. Jawapannya sederhana sahaja iaitu ramai yang solat tetapi mereka hanya melakukan sebagai ibadat fizikal sahaja tanpa ruh, tiada kekhusyukan dan lalai. Mereka tidak mengerti fungsi solat sebagai pembentuk karakter bahkan tidak memahami pun apa-apa yang dibaca di dalam solat. Oleh itu  bagaimanakah mungkin fizik dapat disertakan dengan ruh. Mereka mengetahui Allah itu Tuhan tetapi tidak mengenal sifat-sifatnya. Ia tidak merasai kehadiran Tuhan dalam solatnya. Akhimya solat menjadi kebiasaan yang tidak mempunyai makna apa-apa. Firman Allah S.W.T dalam surah al-Ma’un 107:4-5):

فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ ‌ الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ ‌ 

maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang; (Iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya



Ruh Menjadi Kuat Dengan Puasa

Ibadat puasa memiliki faedah yang sangat banyak. Di antara faedah puasa ialah memperkuat kehendak, menimbulkan kekuatan untuk melawan hawa nafsu, meringankan tubuh untuk melakukan ibadat, menanamkan rasa takwa dan lazat beribadat kepada Allah S.W.T.. Amalan puasa ini telah dilakukan oleh umat-umat yang terdahulu, bahkan agama-agama lain seperti Yahudi, Kristian, Hindu, Budha juga mengamalkan puasa sekalipun caranya berbeza dengan Islam. Hal ini menunjukkan bahawa ibadat puasa adalah amalan fitrah manusia. Puasa dapat menyucikan hati diri, menzahirkan sifat fitrah manusia. Sabda Rasulullah S.A.W:

من صام رمضانَ إيمانًا واحتسابًا غُفِر له ما تقدَّم من ذنبِه

Maksudnya: Barangsiapa yang menunaikan puasa Ramadhan dengan rasa ir dan ikhlas, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni. (sahih Sunan al-Nasa’i, nombor hadis 13561)

Ada beberapa hadis yang menerangkan bahawa barangsiapa yang menunaikan puasa pada beberapa hari yang memiliki keutamaan, maka dia akan meraih ampunan dari Allah S.W.T atas segala dosa yang telah dilakukan. Di antara hari yang dimaksudkan ialah hari Arafah yang pahalanya dapat melebur dosa setahun sebelum dan selepas, hari Asyura yang dapat melebur dosa setahun sebelum, beberapa hari dalam bulan Syawwal yang menyamai pahala berpuasa setahun penuh dan puasa tiga hari pada setiap bulan yang pahalanya menyamai puasa selama satu tahun.

1.2.6.   Ruh Menjadi Kuat Dengan Infaq Pada Jalan Allah

Maksud infaq pada jalan Allah ialah dengan membelanjakan harta pada jalan Allah S.W.T seperti menunaikan zakat, sedekah, memberi nafkah kepada orang-orang dibawah tanggung jawab,  berbelanja dalam menolong dan meninggikan agama Allah S.W.T dan lain-lain. Antara contoh-contoh membelanjakan harta di jalan Allah ialah seperti:

1.         Menolong kaum kerabat dan saudara mara yang berada dalam kesukaran dan kesempitan samada dengan memberi hutang, bersedekah dan meringankan bebanan yang dihadapi.

2.         Menolong fakir miskin dan anak-anak yatim yang berada dalam kesempitan

3.         Membantu pelajar yang ingin menuntut ilmu dan menyambung pelajaran

4.         Menderma untuk pembinaan masjid, pusat pengajian, aktiviti-aktiviti keilmuan dan aktiviti kemasyarakatan yang memberi faedah kepada umat Islam dan umat manusia sejagat.

5.         Memberi kepada orang yang  meminta-minta.

 

Allah S.W.T memberi banyak  motivasi  dalam al-Qur’an dan hadis bagi menggalakkan hamba-hambanya untuk berinfaq. Mereka dijanjikan dengan ganjaran kebaikan berlipat kali ganda di dunia dan kebaikan yang sangat besar di hari akhirat. Sabda Rasulullah S.A.W:

 

ما من يومٍ يُصبِحُ العبادُ فيه ، إلا ملَكان ينزلانِ ، فيقولُ أحدُهما : اللهم أَعطِ مُنفِقًا خَلَفًا ، و يقولُ الآخر : اللهمَّ أَعْطِ مُمْسكًا تَلَفًا

Setiap pagi dua orang malaikat akan turun kepada setiap hamba Allah. Keduanyaa akan berdoa. Seorang daripadanya akan berkata, “ Wahai Allah  tambahkanlah rezeki kepada orang yang berbelanja pada jalanmu. Manakala seorang lagi akan berkata “Wahai Allah balaskanlah orang yang kedekut dengan kerugian.”[i]

 

 

Allah S.W.T sendiri telah menjanjikan gantian yang sangat besar kepada hamba-hambanya yang berinfaq dijalanNYA. Firman Allah S.W.T:

قُلْ إِنَّ رَبِّي يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَن يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ وَيَقْدِرُ لَهُ وَمَا أَنفَقْتُم مِّن شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ

Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya dan Dia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya dan Dialah jua sebaik-baik Pemberi rezeki.

Surah Saba’ (34):39

Allah S.W.T juga menjanjikan ganjaran yang sangat besar kepada orang yang memberi hutang bagi menolong saudaranya yang dalam kesukaran dan hajat yang sangat besar firman Allah S.W.T:

 

مَن ذَا الَّذِي يُقْرِضُ اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا فَيُضَاعِفَهُ لَهُ وَلَهُ أَجْرٌ كَرِيمٌ ‌

Siapakah orangnya yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas) supaya Allah melipat-gandakan balasannya? Dan (selain itu) dia akan beroleh pahala yang besar!

Surah al-Hadid (57):11

Memberi hutang kepada Allah S.W.T bermaksud memberi hutang kepada hamba-hamba Allah yang sangat berhajat dan memerlukan pertolongan. Kelebihan hutang ini juga telah nyatakan oleh Rasulullah S.A.W sebagai lebih besar pahalanya dari bersedekah. Sabda Rasulullah S.A.W:

رأيتُ ليلةَ أُسريَ بي مكتوبًا على باب الجنةِ الصدقةُ بعشرِ أمثالِها والقرضُ ثمانيةَ عشرَ فقلتُ لجبريلَ ما بالُ القرضِ أفضلُ من الصدقةِ قال لأنَّ السائلَ يسألُ وعنده والمُستقرضُ لا يستقرضُ إلا من حاجةٍ

 

Maksudnya: Pada malam aku diisra’kan aku telah melihat tertulis di pintu syurga bahawa pahala sedekah ialah sepuluh kali ganda pahala kebaikannya manakala memberi hutang adalah 18 kali ganda. Aku bertanya kepada Jibril mengapa memberi hutang lebih besar daripada sedekah. Jibril menjawab penerima sedekah masih mempunyai sesuatu disisi mereka tetapi pemiutang tidak akan meminta hutang kecuali kerana mereka berhajat.

 

Rasulullah S.A.W menjelaskan bahawa sedekah akan dapat memadamkan kejahatan dunia dan akhirat serta membuka pintu-pintu kebaikan:

 

عن معاذ بن جبل كنت مع النبي صلى الله عليه وسلم في سفر...قال يعني النبي صلى الله عليه وسلم ألا أدلُّكَ على أبوابِ الخيرِ قلت بلى يا رسول الله قال  الصَّومُ جُنَّةٌ ، والصَّدَقةُ تُطفي الخطيئةَ كما يُطفئُ الماءُ النَّارَ ، وصلاةُ الرَّجلِ من جوفِ اللَّيلِ

 Maksudnya: Daripada Mu’az bin Jabal beliau berkata bahawa suatu ketika aku bermusafir bersama Rasulullah S.A.W....... Baginda berkata kepadaku, mahukah aku tunjukkan kepada kamu pintu-pintu kebaikan, Aku menjawab, sudah tentu wahai Rasulullah. Baginda berkata puasa itu adalah perisai dari api neraka manakala sedekah itu adalah pemadam kepada kepada segala kesilapan sebagaimana air memadamkan api, juga solat seseorang pada waktu tengah malam.

 

Sedekah yang dilakukan dengan amat ikhlas dan secara tersembunyi juga mendapat pujian Allah S.A.W. Bahkan Allah S.W.T akan menempatkan golongan yang bersedekah ini sebagai salah seorang yang akan mendapat perlindungan di bawah bayangan Allah S.W.T di padang Mahsyar nanti, sabda Rasulullah S.A.W:

 

سبعةٌ يُظِلُّهُمُ اللهُ تعالى في ظِلِّهِ يومَ لا ظِلَّ إلا ظِلُّهُ : إمامٌ عدلٌ ، وشابٌّ نشأَ في عبادةِ اللهِ ، ورجلٌ قلبُهُ مُعَلَّقٌ في المساجدِ ، ورجلانِ تحابَّا في اللهِ ، اجتمعا عليهِ وتفرَّقا عليهِ ، ورجلٌ دعَتْهُ امرأةٌ ذاتُ منصبٍ وجمالٍ ، فقال : إني أخافُ اللهَ ، ورجلٌ تصدَّقَ بصدقةٍ ، فأخفاها حتى لا تعلمَ شمالُهُ ما تُنْفِقْ يمينُهُ ، ورجلٌ ذَكَرَ اللهَ خاليًا ففاضتْ عيناهُ
Maksudnya: Tujuh golongan yang akan dilindungi oleh Allah S.W.T di bawah bayangannya pada hari kiamat, pada hari yang tiada sebarang pelindung. Mereka itu ialah: Pemerintah yang adil, pemuda yang hidup dalam ibadat kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, lelaki yang saling mengasihi bertemu dan berpisah kerana Allah, lelaki yang digoda oleh perempuan yang cantik serta mempunyai kedudukan untuk melakukan zina, namun dia menolaknya dan berkata sesungguhnya aku takut kepada Allah, lelaki yang bersedekah dengan ikhlas seumpama tangan kiri tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanan dan lelaki yang berzikir kepada Allah ketika bersendirian sehingga mengalir airmatanya.

Rasulullah S.A.W juga amat menggalakkan umatnya agar menjamu makan. kerana menjamu makan itu dapat melindungi pelakunya daripada bakaran api neraka. Sabda Rasulullah S.A.W:

 

 

اتَّقوا النَّارَ ولو بشقِّ تمرةٍ ، فمن لم يجِدْ فبكلمةٍ طيِّبةٍ

Maksudnya: Peliharalah kamu dari api neraka sekalipun dengan sebelah biji tamar, sekiranya tiada maka hendaklah ia bersedekah dengan kata-kata yang baik.[v]

 

Rasulullah S.A.W menyatakan bahawa antara amalan yang dapat memasukkan seseorang kedalam syurga ialah dengan menjamu makan.

 

لَمَّا قَدِمَ رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّم المدينةَ انجَفَل الناسُ إليه وقيل قَدِمَ رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّم قَدِمَ رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّم قَدِمَ رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّم فجِئْتُ في الناسِ لِأَنْظُرَ إليه فلما استَثْبَتُّ وجهَ رسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّم عَرَفْتُ أن وجهَه ليس بوجهِ كذابٍ وكان أَوَّلُ شيءٍ تكلم به أن قال أَيُّها الناسُ أَفْشُوا السلامَ، وأَطْعِمُوا الطعامَ، وصَلُّوا والناسُ نِيَامٌ، تَدْخُلوا الجنةَ بسَلَامٍ

Maksudnya: Abdullah Ibn Salam meriwayatkan: Ketika Rasulullah S.A.W mula-mula sampai ke Madinah, manusia berduyun-duyun mengerumuni baginda. Mereka berkata Rasulullah S.A.W telah datang Rasulullah S.A.W telah datang, Rasulullah S.A.W telah datang, dan aku adalah antara orang yang datang yntuk melihat baginda. Tatekala aku memerhatikan wajahnya tiada langsung diwajahnya menggambarkan  baginda seorang pendusta dan perkataan pertama yang dituturkan kepada kami ialah: Wahai manusia sebarkanlah salam, jamulah orang makan, solatlah malam diketika orang lain sedang tidur nescaya kamu akan masuk syurga dengan selamat.

 

.2.7      Ruh Menjadi Kuat  Dengan Ibada Haji Dan Umrah.

Orang yang mengerjakan haji bermakna mereka bermusafir. Amalan musafir sangat digalakkan dalam Islam sehingga Allah memberi fadilat kepada orang yang bermusafir dengan menjadikan doa mereka sangat mustajab. Musafir yang sangat afdhal dalam Islam ialah musafir kerana menunaikan haji dan umrah, musafir kerana menuntut ilmu, musafir kerana berjihad di jalan Allah. Orang yang bermusafir dijanjikan dengan kekayaan oleh Allah S.W.T. Kekayaan yang sebenar bukan sahaja terletak pada harta tetapi kaya jiwa, kaya pengalaman. Kaya dengan ilmu dan sebagainya. Sabda Rasulullah S.A.W:

اغزُوا تغنَموا وصُوموا تصِحُّوا وسافِروا تستَغْنوا

Maksudnya: Pergilah berperang dijalan Allah, nescaya kamu akan mendapat harta ghanimah,  berpuasalah nescaya kamu akan sihat, bermusafirlah nescaya kamu akan kaya. (diriwayatkan oleh Tabrani dalam al-Awsat)

Orang yang mengerjakan haji akan mengharapkan Allah S.W.T mengampuni dosa-dosanya. Oleh kerana itu dia  akan kembali dari hajinya dalam keadaan terbebas dari perasaan berdosa, jauh dari rasa gundah, dan malah sebaliknya merasa tenang, tenteram dan dadanya dipenuhi dengan rasa bahagia dan sukacita. Sabda Rasulullah S.A.W:

تَابِعُوا بين الحجِّ والعمرةِ ، فإنَّهما ينفيانِ الفقرَ والذنوبَ ، كما يَنفي الكيرُ خَبَثَ الحديدِ والذهبِ والفضةِ ، وليس للحجةِ المبرورةِ ثوابٌ إلا الجنةُ

Maksudnya: Ikutilah amalan haji dengan umrah kerana sesungguhnya kedua ibadat tersebut dapat menghilangkan kefakiran dan dosa-dosa sebagaimana tungku api (memusang) menghilangkan kotoran besi, emas dan perak yang sedang ditempa. Tidak ada ganjaran untuk haji yang mabrur kecuali syurga. ( hadis hasan sahih gharib: Sunan  al-Tirmizi)

Ibadat haji  mengandungi rahsia-rahsia kejayaan diri yang perlu diambil iktibar dan manfaat oleh setiap muslim yang inginkan kejayaan dan kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat. Antara rahsia-rahsia kejayaan hidup yang terkandung dalam ibadat haji:

1.         Perlunya setiap individu bekerja dan mengejar kekayaan dan harta kerana seseorang itu sukar untuk mengerjakan haji tanpa mempunyai harta kecuali bagi orang-orang yang terpilih di sisi Allah S.W.T.

2.         Kekayaan harta sebenarnya bukan didapati kerana pendapatan yang besar tetapi dengan amalan berjimat cermat dan menyimpan. Seseorang yang berpendapatan besar sekalipun jika tidak ada amalan berjimat cermat maka dia akan sentiasa tidak berkecukupan. Sabda Rasulullah S.A.W:

ما خاب مَنِ استخار ولا ندِم مَنِ استشار ولا عال مَن اقتَصَد

                                                                         

Maksudnya: Tidak akan kecewa orang yang solat istikharah, tidak akan menyesal  orang yang bermesyuarat dan tidak papa orang yang berjimat cermat.[1]

 

3.         Melalui ibadat haji. Allah mengajar kita tentang nilai hidup yang utama iaitu pengorbanan harta. Harta yang ada yang hanya  disimpan tanpa digunakan tidak akan mendapat sebarang faedah. Harta hanya akan bernilai jika diguna dan dikorbankan pada jalan Allah.

4.         Haji juga melatih diri mengorbankan kasih kepada dunia untuk mendapat cinta abadi dari Allah. Mereka dilatih untuk berpisah dengan harta benda yang dimiliki, anak, kaum keluarga sebagai latihan kejiwaan kerana kita semua pasti akan menemui Allah meninggalkan segala harta benda dunia ini.

5.         Ibadat haji juga mengajar kita bagaimana cara kita berkomunikasi dan berhubung dengan manusia lain. Kita dilarang bercakap lucah berbantah-bantahan, mencaci dan lain-lain perkataan keji kerana perbuatan tersebut akan menghilangkan pahala haji.  Sabda Rasulullah S.AW-

إن المؤمنَ ليسَ باللعَّانِ ولا الطعَّانِ ولا الفاحشِ ولا البذيءِ
Bukanlah sifat orang mukmin sebagai pelaknat, pencaci, pelucah dan tidak juga busuk mulutnya iaitu suka mencaci dan mencarut.
               (diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnad)

Orang yang beriman selalu memerhati dan berhati-hati dalam bertutur kata. Sifat mereka ialah bertutur dengan bahasa yang baik dan lemah lembut. Hamba-hamba Allah yang bertutur dengan baik dan lemah lembut akan dimudahkan segala urusan dan pekerjaannya akan berhasil. Sabda RasuluLlah S.A.W:

يا عائشةُ ! إنَّ اللهَ رفيقٌ يحبُّ الرِّفقَ . ويُعطي على الرِّفقِ ما لا يُعطي على العنفِ . وما لا يُعطِي على ما سواه
Nabi Muhammad S.A.W berkata kepada Aisyah; Wahai Aisyah, Sesungguhnya Allah S.W.T itu maha lembut. Allah menyukai kelembutan. Allah S.W.T akan memberi kepada orang yang bersikap lemah lembut apa yang tidak diberi kepada orang yang bersikap kasar dan tidak memberikan kepada selain sikap lemah lembut
(Sahih Muslim, no hadis 2593)
 
 

6.                Menjadi tetamu Allah dan pahala amalannya  berlipatkali ganda. Segala perbelanjaan yang dikeluarkan untuk mengerjakan haji juga akan diganti balik oleh Allah S.W.T dengan gentian yang lebih baik. Bukan semua orang dijemput untuk menjadi tetamu Allah. Oleh itu bersyukurlah andai kita dipilih untuk mengerjakan haji. Bagi yang belum terpilih berusahalah untuk mendapatkannya kerana ganjaran dan keuntungannya adalah sangat besar di sisi  Allah S.W.T dan kebaikannya akan terpulang  balik kepada individu yang mengerjakannya. Sabda Rasulullah S.A.W:

الحُجَّاجُ والعُمَّارُ وفدُ اللهِ إن سألوا أُعطُوا وإن دعَوْا أُجيبوا وإن أنفقوا أُخلِف لهم

Maksudnya: Orang yang mengerjakan haji dan umrah itu adalah para tetamu Allah. Allah akan memberikan apa saja yang mereka minta, mengabulkan doa yang mereka pohon, menggantikan balik perbelanjaan yang mereka keluarkan.

(al-Munziri dalam al-Targhib wa al-Tarhib)

 

النَّفقةُ في الحجِّ كالنَّفقةِ في سبيلِ اللهِ بسبعِمائةِ ضعفٍ

                    Perbelanjaan yang dikeluarkan untuk menunaikan haji seperti berbelanja di jalan Allah dengan dibalas pahalanya dengan 700 kali ganda kebaikan

(al-Munziri dalam al-Targhib wa al-Tarhib)

 

 

7.         Berada dalam jaminan Allah S.W.T. dan menjadi penghalang dari ditimpa kemiskinan dan kepapaan. Sabda Rasulullah S.A.W:

 ان هذا البيتُ دِعامةٌ مِن دعائمِ الإسلامِ فمَن حجَّ البيتَ أوِ اعتَمَر فهو ضامنٌ على اللهِ فإنْ مات أدخَله الجنَّةَ وإنْ ردَّه إلى أهلِه ردَّه بأجرٍ وغَنيمةٍ

Maksudnya: Sesungguhnya Baitullah itu adalah salah satu dari mercu tanda Islam, sesiapa yang mengerjakan Haji dan Umrah padanya, maka dia berada dalam jaminan Allah. Sekiranya ia meninggal dunia semasa mengerjakannya maka Allah S.W.T akan memasukkan dia ke dalam syurga, sekiranya tidak maka dia akan kembali kepada keluarganya dengan ganjaran pahala dan keuntungan yang besar.

 (al-Tabrani dalam Mu’jam al-Awsat)

8.         Sebagai ganti jihad  bagi kaum wanita, orang-orang tua dan orang-orang yang lemah. Sabda Rasulullah s.a.w:

جِهادُ الكبيرِ والضَّعيفِ والمرأةِ الحجُّ والعُمرةُ
Maksudnya: Jihad bagi orang-orang tua,  orang-orang yang lemah dan wanita ialah dengan mengerjakan haji dan umrah
(al-Tabrani dalam Mu’jam al-Awsat)

9.      Ganjaran pahala solat yang berlipat kali ganda kerana kemuliaan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Sabda Rasulullah S.A.W:

 

صلاةٌ في مسجِدي هذا ، أفضلُ من ألفِ صلاةٍ فيما سِواهُ ، إلَّا المسجدَ الحرامَ ، وصلاةٌ في المسجدِ الحرامِ ، أفضلُ من صلاةٍ في مسجدي هذا بمائةِ صلاةٍ

Maksudnya: Solat di masjidku yakni masjid Nabawi di Madinah lebih afdhal daripada solat di masjid lain dengan seribu kali ganda melainkan MasjidilHaram. Solat di Masjidil Haram lebih afdhal daripada solat dimasjid ku dengan seratus kali solat.

(Hadis sahih diriwayatkan oleh Ibn Hibban dalam bulugh al-Maram)

 

            Sabda Rasulullah S.A.W:

 

    من صلَّى في مسجدي أربعين صلاةً لا تفوته صلاةٌ كُتِبتْ له براءةٌ من النَّار وبراءةٌ من   

     العذابِ وبرِئ من النِّفاق

 

Maksudnya: Sesiapa yang solat di masjidku yakni Masjid Nabawi sebanyak 40 waktu turut-turut tanpa luput satu solat pun akan ditulis untuknya terlepas dari api neraka, terlepas dari azab kubur dan selamat dirinya dari sifat munafik.

(Al-Munziri; al-Targhib wa al-Tarhib, Perawinya adalah sahih dan tsiqah)

 

 

1.2.8    Ruh Akan Kuat Dengan Zikir

 

Zikir adalah sebahagian daripada ibadat. Dengan berzikir Allah S.W.T menjanjikan ketenangan, turunnya rahmat dan keberkatan dalam hidup hamba-hambaNYA. Walau apa cara sekalipun yang dilakukan oleh manusia untuk mencari ketenangan dan kekuatan jiwa, namun ketenangan yang sebenar hanya ada dalam zikrullah. Hal ini dijelaskan Allah S.W.T dalam firmanNya:

الَّذِينَ آمَنُواْ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللّهِ أَلاَ بِذِكْرِ اللّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan "zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang Tenteramlah hati manusia.

                                                                  (Surah al-Ra’du, 13:28)

Zikir menurut syari’at ialah setiap ucapan yang dilakukan bagi tujuan memuji dan berdoa. iaitu lafaz yang digunakan untuk beribadah kepada Allah, berkaitan dengan pengangungan terhadap-Nya dengan menyebut nama-nama atau sifat-sifat-Nya, memuliakan dan mentauhidkan-Nya, bersyukur dan mengangungkan Zat-Nya, membaca kitab-Nya, dan berdoa kepada-Nya.[2] Menurut al-Hafizh Ibnu Hajar al-‘Asqalani asy-Syafi’iy zikir adalah mengucapkan dan memperbanyak segala bentuk lafaz yang di dalamnya mengandungi tentang kabar gembira, seperti kalimat : SubhanaLlah, walhamdulillah, wa laa ilaaha illallaah, wallaahu akbar; dan seumpamanya seperti  doa untuk kebaikan dunia dan akhirat. Termasuk dalam pengertian zikir juga ialah segala bentuk aktiviti amal soleh yang hukumnya wajib mahupun sunat seperti membaca al-Quran, mempelajari ilmu hadis, mempelajari ilmu agama, melakukan solat-solat sunat dan lain-lain.[3]

 

Rasulullah S.A.W  telah memberikan satu motivasi yang hebat kepada umatnya supaya sentiasa menghidupkan majlis zikir. Baginda menyatakan bahawa kaum atau kumpulan pun yang duduk dalam majlis akan dicucuri rahmat Allah yang melimpah-limpah, dihilangkan kesedihan dan dukacita serta membangkitkan rasa bahagia dan tenteram. Sabda Rasulullah S.A.W:

مَن نفَّسَ عن مُسلمٍ كُربةً من كرَبِ الدُّنيا ، نفَّسَ اللَّهُ عنهُ كُربةً من كُرَبِ يومِ القيامةِ ، ومَن سترَ مسلِمًا سترَهُ اللَّهُ في الدُّنيا والآخرةِ ، ومَن يسَّرَ على مُعسرٍ يسَّرَ اللَّهُ عليهِ في الدُّنيا والآخرةِ ، واللَّهُ في عونِ العبدِ ما كانَ العبدُ في عونِ أخيهِ ، ومَن سلَكَ طريقًا يلتَمِسُ فيهِ علمًا ، سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طريقًا إلى الجنَّةِ ، وما اجتمعَ قومٌ في بيتٍ من بيوتِ اللَّهِ ، يَتلونَ كتابَ اللَّهِ ، ويَتدارسونَهُ بينَهُم ، إلَّا حفَّتهمُ الملائِكَةُ ، ونزَلت عليهمُ السَّكينةُ ، وغشيتهمُ الرَّحمةُ ، وذَكَرَهُمُ اللَّهُ فيمن عندَهُ ، ومن أبطأَ بِهِ عملُهُ لم يُسرِعْ بِهِ نسبُهُ
Maksudnya:Sesiapa yang melepaskan kesulitan orang mukmin daripada kesulitan-kesulitan dunia maka Allah S.W.T akan melepaskan kesulitan-kesulitannya diakhirat. Barangsiapa yang menutupi keaipan orang mukmin didunia, maka Allah S.W.T akan menutupi keaipan-keaipannya didunia dan akhirat.Barang siapa memudahkan urusan orang mukmin di dunia maka Allah S.W.T akan memudahkan urusannya didunia dan akhirat. Allah S.W.T akan menolong hamba-hambanya selama mana hambanya itu menolong saudaranya. Sesiapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, Allah S.W.T akan memudahkan baginya jalan kesyurga. Tidak berhimpun sesuatu kaum dirumah Allah S.W.T, yang mana disitu mereka membaca kitab-kitab Allah dan mempelajarinya antara satu sama lain, maka para malaikat akan megelilingi mereka, diturunkan kepada ketenangan, dilitupi dengan rahmat dan Allah S.W.T akan menyebut-nyebut namaNYA pada malaikat yang berada disisiNYA. Sesiapa yang malas beramal, maka nasab keturunannya tidak akan mampu meninggikan darjatnya.
                                                           (Sahih Muslim, no hadis 4867)
Sabda RasuluLlah S.A.W:
يقولُ اللهُ عزَّ وجلَّ : أنا عند ظنِّ عبدي بي . وأنا معه حين يذكُرني . إن ذكرني في نفسِه ذكرتُه في نفسي . وإن ذكَرني في ملإٍ ، ذكرتُه في ملإٍ هم خيرٌ منهم . وإن تقرَّب منِّي شبرًا ، تقرَّبتُ إليه ذراعًا . وإن تقرَّب إليَّ ذراعًا ، تقرَّبتُ منه باعًا . وإن أتاني يمشي ، أتيتُه هَرْولةً . وفي روايةٍ : بهذا الإسنادِ . ولم يذكُرْ وإن تقرَّب إليَّ ذراعًا ، تقرَّبتُ منه باعًا

/ ^

Maksudnya: Allah S. W. T berfirman: Aku menetapkan sesuatu berdasarkan pada prasangka hambaKu terhadapKu. Dan Aku sentiasa bersamanya jika dia mengingatiKu. Apabila dia mengingatKu dalam dirinya maka Aku akan mengingatnya dalam rahmatKu. Jika dia mengingatKu di tengah-tengah orang ramai. maka Aku mengingatnya dalam kumpulan yang lebih baik. Apabila dia mendekatkan dirinya kepadaKu sejengkal maka Aku akan mendekatinya sehasta. Jika dia mendekatiKu sehasta Aku akan mendekatinya sedepa. Jika dia mendekatiKu sambil berjalan, Aku akan mendatanginya dengan berlari.

(sahih Ibn Hibban)

Ruh kepada setiap ibadat ialah zikrullah. Anda bersolat bererti anda sedang berzikir kepada Allah. Yang memberi makna kepada ibadat haji juga ialah zikrullah, berdoa, bertasbih, bertahmid, bertakbir, berselawat, membaca al-Qur'an bererti anda sedang berzikir kepada Allah. Anda keluar untuk belajar dan bekerja kerana Allah bererti anda berzikir kepada Allah. Tidak ada benda yang paling hebat dan paling besar yang anda lakukan yang akan mendapat tempat yang paling istimewa di sisiNya kecuali Zikrullah.

اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ

Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

(Surah al-Ankabut 29:45)

قال اللهُ تبارَك وتعالى : أنا مع عبدِي ما ذكَرني وتحرَّكَتْ بي شَفَتاهُ
Berkata Allah S.W,T: Aku bersama-sama hambaku selama mana mereka berzikir mengingatiku dengan mengerakkan dua bibirnya

(Sahih Ibn Hibban)

 

 

1.3       PENUTUP

 

Jiwa dan ruh yang kuat adalah amat perlu dalam kehidupan semua manusia. Ruh dan jiwa yang kuat ini hanya akan dapat dinikmati  oleh mereka yang mempunyai akidah yang benar dan hubungan yang rapat dengan Allah S.W.T. Kekuatan sebenar manusia adalah pada ruhnya. Dengan ruh dan jiwa yang kuat manusia akan dapat menjalani kehidupan di dunia ini dengan selamat dan berjaya mengendalikan tugas dan tanggungjawab sebagai khalifah sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah S.W.T. Dengan ilmu dan akidah yang benar manusia akan dapat mengetahui dan menghayati bahawa ruh yang kuat boleh didapati dengan iman, ihsan dan dengan ibadat yang berterusan kepada Allah S.W.T.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

RUJUKAN



[1]Hadis Gharib, diriwayatkan oleh Ibn Hajar al-Asqalani dalam al-Futuhat

al-Rabbaniyyah dan al-Tabrani dalam Mu’jam al-Awsat

[2] (Lihat: al-Mawsu’ah al-Fiqhiyah, jil. 21/220)

[3] (Fathul-Baariy, 11/209)


No comments:

Post a Comment