Monday, August 2, 2010

Kesan Mimpi pada Psikologi: Menurut tinjauan menurut perspektif al-Qur'an dan al-Sunnah

Pendahuluan


Manusia normal biasanya menghabiskan satu pertiga dari hidup setiap hari dengan tidur. Ketika tidur kita akan bermimpi, samada kita sedari mahupun tidak. Kajian-kajian moden telah menunjukkan bahawa tidur dan mimpi adalah amat penting kepada kesihatan mental dan fizikal. Mimpi-mimpi yang dianggap mimpi kacau sekalipun mempunyai faedah kepada manusia. Sigmund Frued mengambarkan mimpi sebagai ‘ The royal road to the unconscious’ atau dalam bahasa melayunya bermaksud ‘jalan diraja menuju dunia bawah sedar’. Menurut Freud setiap mimpi mempunyai tafsiran-tafsiran yang tersembunyi seperti pemenuhan kepada impian yang tidak tercapai atau terpendam. Impian-impian tersebut dikaitkan oleh freud dengan impian dan keinginan seksual yang terpendam. Impian tersebut muncul dalam mimpi melalui gambar-gambar dan simbol-simbol yang tertentu.

Lama sebelum penemuan Frued yang dianggap oleh massa sebagai tokoh psikologi yang paling menyerlah, para intelektual Islam dalam bidang falsafah, tasawwuf dan sebagainya telah mendahului beliau dengan kajian yang lebih tepat dan lebih benar berdasarkan kepada sumber yang paling berotoriti diatas muka bumi iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah. Kajian tentang ilmu jiwa atau psikologi hari ini telah didahului oleh segugusan intelektual muslim yang terbilang dalam berbagai aspek seperti al-Kindi, al-Farabi, Ibn Sina, Ikhwan al-Safa, al-Ghazzali, Ibn Khaldun, Ibn Rushd, Ibn Taymiyyah, Ibn Qayyim al-Jauziyyah dan lain-lain. Yang menarik dalam kajian ulamak ini ialah mereka meletakkan mimpi sebagai salah satu objek penting dalam kajian mereka.


Definisi mimpi dan Psikologi


Mimpi mempunyai kesan yang besar kepada psikologi manusia. Kerana kesan dan kepentingan inilah seterusnya kajian psikologi samada yang terkini mahupun yang telah didahului oleh ulamak-ulamak muslimin akan berbicara tentang mimpi. Untuk mendapat gambaran yang jelas terhadap kesan mimpi kepada psikologi, tinjauan ini akan menyorot terlebih dahulu terhadap berbagai definisi mimpi dan faktor yang mencetuskannya juga definisi psikologi itu sendiri. yang telah diutarakan oleh para pengkaji psikologi. Definisi mimpi dalam tinjauan ini akan merujuk kepada pendefinisian yang diutarakan oleh dua orang psikologi Barat iaitu Freud dan Carl Gustav Jung dan dua orang tokoh ulamak muslimin iaitu al-Kindi dan Ibn Khaldun.

Mimpi : Definisi dan latarbelakang kajian
.
Menurut Frued ( 1865-1939), mimpi didefinisikan sebagai ‘ aktiviti Psikis ( jiwa) seseorang ketika ia berada dalam kondisi tidak sedar atau sedang tidur.’ . Frued dalam karyanya yang dianggap sebagai ‘masterpiece’ beliau iaitu the interpretation of dreams yang diterbitkan pada awal 1900M telah mengunakan pengalaman peribadi beliau sendiri sebagai panduan. Menurut Frued, mimpi seseorang adalah dikaitkan dengan keinginan seksual yang terpendam terutamanya semasa kanak-kanak, yang selalunya digambarkan dalam bentuk illusi dan simbol-simbol. Perlu dinyatakan bahwa Frued langsung tidak mengaitkan mimpi dengan roh dan alam ketuhanan (Divine). Beliau telah membawa pandangan Aristotles yang menurut beliau menyatakan bahawa, mimpi hanyalah persoalan psikologis bukannya ilham dari dewa, bahkan ia lahir dari sifat-sifat kejam atau jahat (Demonic) dan sifat kejam itulah sifat manusia yang sebenarnya. Ahli psikologi barat kebanyakannya menyatakan asal sifat manusia adalah jahat dan kejam, mereka menafikan sifat-sifat malaikat yang ada pada manusia.

Dua puluh tahun selepas Frued muncul Carl Gustav Jung (1875- 1961) , salah seorang murid Frued dengan membawa idea yang tersasar jauh dari idea gurunya Frued. Idea-idea Jung ini diterbitkan dalam bukunya Modern Man In Search Of A Soul pada tahun 1933 Jung menolak pandangan gurunya yang menyandarkan mimpi kepada dorongan seksual semata-mata. Mimpi menurut jung berlaku secara spontan ia adalah suatu aksi yang kreatif yang digambarkan melalui imej-imej simbolik yang biasa kepada semua manusia, ia terletak pada suatu tempat yang asas dalam jiwa manusia yang diistilahkan oleh Jung dengan “ Collective unconscious” atau diterjemahkan dengan alam tidak sedar kolektif. Alam tidak sedar kolektif menurut Jung adalah sesuatu yang diwariskan dimana setiap manusia memilikki sifat kebersamaan dengan manusia lain. Jung percaya bahawa mimpi adalah gambaran kepada bentuk-bentuk mental, emosi juga potensi spiritual termasuk Telepati. Teori Jung ini dilihat istimewa kerana penekanannya kepada aspek paranormal dan Mistik.

Menurut Dr Amir An- Najar dalam bukunya al-Ilmu an-Nafsi al-Sufiyyah, idea-idea ‘alam tidak sedar kolektif’ Jung lebih dekat dengan idea-idea kaum Sufi. Al- Kindi mendefinisikan mimpi dengan ‘ Aktiviti berfikir yang dilakukan oleh jiwa tanpa pengunaan pancaindera’. Menurut al- Kindi kekuatan khayalan (القوة المصورة ) iaitu kekuatan mengambarkan sesuatu yang ada dalam akal manusia adalah lebih jelas dan lebih meyakinkan apabila sesorang itu berada dalam keadaan tidur. Tenggelamnya manusia dalam aktiviti berfikir tanpa mengunakan pancaindera menjadikan hakikat sesuatu benda dapat dilihat dengan lebih jelas seolah-olah disaksikan dengan pancaindera. Hasil dari aktiviti inilah lahirnya mimpi dan Ru’ya(ألأحلآم والرؤيا). Al-Kindi membicarakan tentang mimpi dalam kitabnya yang bertajuk في ماهية النوم والرؤيا. Beliau membahagikan mimpi kepada empat jenis iaitu pertama, mimpi yang memberi petunjuk tentang perkara yang akan berlaku yang diperlihatkan kepada manusia sebelum ia terjadi. Kedua, mimpi yang digambarkan melalui simbol-simbol yang menunjukkan diatas sesuatu yang lain, ketiga mimpi yang menunjukkan sesuatu yang bertentangan dan yang keempat mimpi yang tidak menunjukkan apa-apa erti atau di panggil mimpi-mimpi kacau. Menurut al-Kindi, kejelasan sesuatu mimpi adalah bergantung kepada tahap jiwa seseorang. Seseorang yang mempunyai jiwa yang bersih maka, mimpinya adalah lebih jelas sehingga ia mendapat gambaran sesuatu sebelum ia terjadi.

Ibn Khaldun mendefinisikan mimpi dengan ‘ kesedaran yang timbul dalam jiwa yang berakal(
النفس الناطق) yang berlaku ketika tidur. Ruh al-Natiq dapat mencapai persepsi alam ghaib, pancaindera adalah penghalang kepada ruh ini untuk melihat alam hakikat. Apabila manusia tidur yang mana sebab pada waktu itu kekuatan indera menjadi lemah, maka tabir yang menutupi kebenaran itu akan terbuka. Apabila tabir sudah terbuka, jiwa manusia akan berkesempatan untuk mengentahui apa saja yang dikehendakki dalam dunia hakikat, ketika ini mereka mendapatkan kearifan ‘pure intellection’. Namun demikian proses untuk mendapatkan pure intellection ini berbeza diantara seorang manusia dengan manusia yang lain kerana berbezanya tingkat dan kedudukan jiwa.

Jiwa manusia menurut Ibn Khaldun terbahagi kepada tiga peringkat iaitu:


i. jiwa yang secara semulajadi tidak kuat imannya. Dengan demikian ia lebih terdorong untuk tunduk kepada tuntutan panca indera. Dengan tabiatnya ia mampu mencapai ilmu namun terbatas kepada alat-alat idrak berbentuk deria.


ii. Jiwa ini dapat menggarap ilmu secara rohani tanpa mengunakan alat-alat deria. Ia merupakan kurniaan Allah s.w.t. Jiwa ini melangkaui peringkat-peringkat penyaksian indera kepada penyaksian rohani. Roh peringkat ini dimilikki oleh para wali, ulamak, orang-orang yang mempunyai pengtahuan tentang ketuhanan yang mendalam.


iii. Jiwa para nabi dan Rasul. Roh pada tahap ini Dapat menanggapi ilmu yang tertinggi absolute tanpa kesilapan. Mereka dapat secara semulajadinya menukar sifat-sifat kemanusiaan yang ada dalam diri mereka kepada sifat malaikat, kerana itu mereka dapat mendengar bicara yang penting dan kalimah yang suci dari Allah s.w.t.


Definisi Psikologi Agama


Psikologi berasal dari bahasa Yunani kuno, psyche yang bererti jiwa dan logos yang bererti ilmu. Oleh itu psikologi ialah ilmu tentang jiwa. Psikologi secara umum mempelajari gejala-gejala kejiwaan manusia yang berkaitan dengan fikiran ( Cognisi), perasaan( emotion) dan kehendak( Conasi). Gejala tersebut secara umum memilikki ciri yang hampir sama pada diri manusia dewasa yang normal. Ciri ini dapat diamati melalui sikap dan perilaku mereka. Harun Nasution mendefinisikan agama berdasarkan kata asalnya iaitu al-Din. Religi( relegere, religare). Al-Din (semit) bererti undang-undang atau hukum. Dalam bahasa Arab pula mengandungi erti menguasai, menundukkan, patuh, hutang, balasan dan kebiasaan. Dari kata religi ( Latin) atau relegare bererti mengumpulkan dan membaca, kemudian religare bererti mengikat. Manakala kata agama itu sendiri dari A= tidak dan gam= pergi, oleh itu agama bererti tetap dan tidak pergi. Bertitik tolak dari pengertian tersebut Harun Nasution mendefinisikan agama dengan ikatan yang harus dipegang dan dipatuhi manusia. Dengan demikian psikologi agama merupakan cabang psikologi yang meneliti dan mempelajari tingkah laku manusia dalam hubungannya dengan pengaruh keyakinan terhadap agama yang dianuti serta dalam kaitannya dengan perkembangan usia masing-masing.

Jenis-jenis mimpi: Tinjauan dari al-Qur’an , Al-Sunnah. Dan Kajian Psikologi

Tinjauan dari al-Qur’an

Terdapat empat kalimah yang berbeza yang merujuk kepada mimpi di dalam al-Qur’an iaitu ru’ya (
رؤيا), Manam (منام ), bushra ( بشرى ) dan Adghasu ahlam (اضغاث احلآم . Dalam al-Qur’an kalimah Ru’ya muncul enam kali iaitu dalam ayat 5 , 43, dan ayat 100 surah Yusuf, ayat 60 surah al Isra’, ayat 105 surah al-Saffat, ayat 27 surah al-Fath. Manakala kalimah Manam muncul empat kali. Dua kali merujuk kepada tidur iaitu dalam ayat 23 surah al-Rum juga ayat 42 surah al-Zumar, dan dua kali merujuk kepada mimpi iaitu dalam ayat 43 surah al-Anfal juga ayat 102 surah al-Saffat. Manakala kalimah Bushra muncul sekali dalam alqur’an juga membawa maksud mimpi iaitu dalam ayat 64 surah Yunus. Ketiga-tiga kalimah iaitu Ru’ya Manam dan Bushra merujuk kepada mimpi-mimpi yang baik.

Untuk mimpi yang buruk alqur’an mengunakan kalimah Hulm. Kalimah Hulm muncul dalam alQur’an sebanyak dua kali iaitu dalam ayat 44 surah Yusuf dan dalam ayat 5 surah al-Anbiya’ , kedua-duanya merujuk kepada adghath ahlam Iaitu mimpi-mimpi yang kacau. . Secara kasarnya terdapat sepuluh kisah mimpi dalam al-Qur’an iaitu empat berkaitan dengan nabi Yusuf ,dua berkaitan dengan nabi Ibrahim dan selebihnya ialah mimpi yang berkaitan dengan nabi Muhammad s.a.w.

Tinjauan jenis mimpi dalam al-Sunnah.

Sebagaimana al-Qur’an, al-Sunnah juga menaruh perhatian yang besar terhadap persoalan mimpi. Al-Bukhari dalam himpunan hadis-hadis sahihnya telah meletakkan mimpi dalam satu bab iaitu bab al-Ta’bir (
التعبير ). Bab ini mengandungi 99 hadis tentang mimpi. Kesemua hadis itu juga telah ditakhrijkan oleh Imam Muslim dalam sahihnya kecuali beberapa hadis sahaja yang tidak terlibat. Dalam beberapa hadis Rasulullah s.a.w, baginda menyebut mimpi terbahagi kepada dua iaitu al-Ru’ya dan al-Hulm. Antara hadis-hadis tersebut ialah:


i. Sabda rasulullah s.a.w dari hadis yang diriwayatkan oleh Abi Qatadah r.a.:


الرؤيا من الله والحلم من الشيطان فاذا حلم أحدكم الحلم يكرهه فليبصق عن يساره وليسعذ بالله فلن يضره


Maksudnya: Mimpi yang baik ‘ru’ya’ adalah dari Allah s..w.t, manakala mimpi kacau ‘al-Hulm’ adalah dari syaitan. Sesiapa dikalangan kamu bermimpi sesuatu yang dibenci hendaklah diludah kesebelah kiri sambil memohon perlindungan Allah. Nescaya syaitan tidak akan memudaratkannya.

ii. Sabda rasulullah s.a.w dari hadis yang diriwayatkan oleh Abi Sa’id al-Khudri:

اذا رأى احدكم الرؤيا يحبها فانما هى من الله فليحمد الله عليها وليحدث بها واذا رأى غير ذلك مما يكره فانما هى من الشيطان فليسعذ من شرها ولآ يذكرها لأحد فانها لآ تضره


Maksudnya: Apabila kamu bermimpi dengan mimpi yang disukainya, ianya datang dari Allah s.w.t. Kerana itu hendaklah ia memuji Allah s.w.t dan sunat memberitahu kepada orang lain. Sebaliknya apabila seseorang itu bermimpi dengan mimpi yang buruk, ianya adalah dari syaitan, maka hendaklah berlindung dengan Allah s.w.t dari kejahatnnya, dan tidak menceritakannya kepada orang lain. Mimpi itu tidak akan memudaratkannya.


Dalam hadis yang lain rasulullah s.a.w membahagikan mimpi kepada tiga, sabda rasulullah s.a.w:


والرؤيا ثلآثة فرؤيا الصالحة بشرى من الله ورؤيا تحزين من الشيطان ورؤيا مما يحدث المرء نفسه فان رأى احدكم ما يكره فليقم فليصل ولآ يحدث بها الناس


Maksudnya: Mimpi ada tiga jenis: ru’ya solehah yang merupakan khabar gembira dari Allah s.w.t, mimpi yang menyedihkan berasal dari syaitan, dan mimpi yang termasuk peristiwa yang dialami seseorang itu sendiri. Jika kamu bermimpi yang tidak menyenangkan hendaklah ia bangkit dan mengerjakan solat. Dan janganlah ia memberitahu mimpi itu kepada orang lain

Ibn Khaldun membahagikan mimpi kepada tiga dengan bersandarkan hadis rasulullah s.a.w:


الرؤيا ثلآث : رؤيا من الله, ورؤيا من الملك, ورؤيا من الشيطان

.
Maksudnya: Mimpi ada tiga bahagian iaitu mimpi dari Allah, mimpi dari malaikat, dan mimpi dari syaitan

Mimpi dari Allah s..w.t adalah mimpi yang jelas dan terang yang tidak memerlukan kepada tafsiran. Manakala mimpi dari malaikat pula adalah juga mimpi yang benar tetapi memerlukan penta’biran. Sementara mimpi dari syaitan pula adalah mimpi-mimpi kacau yang tidak mempunyai sebarang erti. Perbezaan bilangan jenis mimpi samada dua atau tiga tidaklah menunjukkan bahawa terdapat pertentangan antara hadis-hadis rasulullah s.a.w kerana mimpi yang berasal dari peristiwa yang dialami oleh seseorang itu juga sebenarnya termasuk dalam kategori Hulm. Dalam hadis diatas Hulm dimasukkan kedalam kategori ru’ya. Ru’ya solehah adalah khabar gembira dari Allah sw.t. Mimpi jenis ini adalah sama dengan mimpi yang dialami oleh para nabi yang telah disebutkan dalam al-Quran al-Karim.


Mimpi jenis kedua tergolong dalam Hulm yang menimbulkan kesedihan, keragu-raguan dan kebatilan. Mimpi jenis ini berasal dari syaitan. Sementara mimpi jenis ketiga merupakan pengalaman peribadi dimasa lampau atau ingatan yang terpendam dalam alam bawah sedar seseorang yang kemudian muncul ketika sedang tidur. Mimpi jenis kedua dan ketiga dikategorikan sebagai Hulm yang menjadi objek kajian para psikologis moden. Sedangkan mimpi jenis pertama merupakan ru’ya solehah atau ru’ya sodiqah yang tidak tercakup dalam bidang kajian psikologi moden.


Jenis-jenis mimpi dalam Kajian Psikologi.


Mimpi dalam kajian psikologi terjadi kerana adanya problem kejiwaan yang sulit disembuhkan, baik diketahui dan disedari, mahupun yang terpendam di alam bawah sedar sejak tahun-tahun pertama dari masa kanak-kanak. Dalam tinjauan al-Qur’an dan al-Sunnah mimpi ini dikategorikan sebagai al-Hulm atau adghat ahlam. Menurut aliran ilmu psikologi sumber dan tabiat mimpi terbahagi kepada empat jenis iaitu:


i. stimulus perasaan yang datang dari luar jasmani, contohnya seorang yang sedang tidur lalu mendengar suara dari luar. Suara itu menjadi stimulus terhadap jiwa dan dapat memberikan gambar-gambar yang sesuai dengan bentuk suara yang didengarinya.


ii. Stimulus perasaan yang datang dari jiwanya sendiri seperti stimulus lapar, haus dan keinginan untuk membuang air. Seringkali orang tertidur lapar melihat sebuah raga yang penuh dengan makanan atau orang yang tidak mempunyai duit berjumpa dengan duit yang banyak.


iii. Stimulus jasmaniah batiniah seperti gejolak-gejolak dan gangguan batin seperti orang yang hatinya terganggu sering bermimpi mati dan melihat kondisi-kondisi yang sangat menakutkan.


iv. Sumber mimpi dari jiwa sebagai peringatan seperti adanya perhatian kuat sesorang disiang hari atau dikala dalam keadaan sedar tentang sesuatu kejadian. Perhatian yang kuat tersebut dapat mengenang dan memanggil kenangan masa lalunya yang tersimpan di dalam alam sedarnya.


Cara Mendapatkan Mimpi Yang Benar.


Al- Qardawi dalam bukunya Mauqif al-Islam Min al-Ilham wa al-Kasyf wa Al-Ru’ya, menolak hujjah sebahagian ulamak tasawwuf yang melampau yang menganggap mimpi boleh dijadikan hujjah syara’. Namun demikian beliau mengakui tentang adanya dalil terhadap kebenaran ilham , Kasyf dan ru’ya yang berlaku kepada sebahagian manusia-manusia yang mempunyai tahap keimanan dan tahap ibadat yang tinggi kepada Allah s.w.t. Menurut beliau Ilham adalah kasyf sewaktu dalam keadaan jaga dan mimpi yang benar ‘ru’ya’ adalah kasyf dalam keadaan tidur.

Menurut Ibn Khaldun, Kasyf seringkali terjadi kepada orang-orang yang membiasakan diri dengan latihan kerohanian ( Mujahadah). Latihan-latihan kerohanian, Khalwah, zikir dan doa merupakan makanan kepada roh. Apabila roh menjadi kuat tirai perasaan akan tersingkap dan roh akan menyedari kewujudannya yang sebenar, ia akan memahami sifat-sifat Allah s.w.t, mendapat bahagian dari ilmunya, menerima rahmat yang khusus , roh akan dapat mencapai tingkatan malaikat. Dalam keadaan jiwa yang jernih dan bersih, roh akan terbebas dari ikatan fizikal yang membolehkanya bergerak bebas. Dalam kondisi seperti ini roh akan mampu melihat dan mendengar sesuatu yang sangat jauh dan mampu menangkap hal-hal yang berada di alam metafizik. Kemampuan roh inilah yang dikenali dalam dunia moden hari ini dengan telepati. Sabda rasulullah s.a.w:


لولا أن الشياطين يحومون على قلوب بنى آدم لنظروا الى ملكوت السمآء


Maksudnya: Kalau bukan kerana syaitan mengerumuni hati anak Adam, pasti mereka mampu melihat alam malakut langit.


Sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini dalam definisi mimpi, bahawa ruh al-Aql atau Ruh al-Natiq dapat menanggapi persepsi alam ghaib. Penghalang kepada ruh al-Natiq dari mendapat persepsi alam ghaib ini ialah pancaindera. Dalam keadaan tidur dimana segala pancaindera direhatkan maka ruh al-Natiq ini berada dalam keadaan aktif. Jika mimpi seseorang itu adalah hasil dari aktiviti ruh al-Natiq , maka ia adalah mimpi yang benar atau disebut ru’ya. Namun demikian jika mimpi itu diperolehi dari gambar-gambar yang disimpan di dalam kekuatan mengingat (
الحافظة ) dimana seseorang itu telah menyimpannya dalam keadaan jaga maka ianya adalah mimpi-mimpi yang mengelirukan(اضغاث أحلآم ).


Menurut Ibn Khaldun, ru’ya dan adghathu ahlam boleh dibezakan. Menurut beliau mimpi yang benar dapat dikenali melalui tanda-tanda berikut:


i. Pemimpi akan segera bangun sebaik sahaja dia menanggapi mimpi tersebut sekalipun dia tidur dalam keadaan yang amat lena kerana persepsi yang diberikan kepadanya akan membebaninya jika ia terus tidur.


ii. Mimpi itu akan berkekalan dengan segala perinchian di dalam kotak ingatannya. Mimpi itu tetap tergambar dalam ingatannya apabila dia sudah sedar dan tidak memerlukan pemikiran untuk mengingat kembali. Hal ini bersesuaian dengan keistimewaan wahyu. Dalam hadis ada menyebut bahawa mimpi adalah sebahagian daripada 46 bahagian kenabian sabda rasulullah s.a.w:


الرؤيا جزء من ستة وأربعين جزءا من النبوة


Maksudnya: Mimpi yang baik adalah sebahagian dari 46 kenabian.
Kerana kekekalan ingatan terhadap wahyu itulah maka Allah berfirman kepada rasulnya:


لآ تحرك به لسانك لتعجل به أن علينا جمعه وقرآنه فاذا قرأناه فاتبع قرآنه ثم ان علينا بيانه


Maksudnya:


Mimpi manusia berbeza di antara satu sama lain, bergantung kepada kesedian jiwanya. Untuk mendapatkan mimpi-mimpi yang baik ulamak telah menyarankan beberapa adab untuk diikuti. Antaranya sebagaimana yang dituliskan oleh Muhammad Ibn Sirin rahimahullah iaitu:


i. Sentiasa bercakap benar dalam setiap pertuturan. Sabda rasulullah s.a.w;


أصدقكم رؤيا أصدقكم حديثا


Maksudnya: Yang paling benar mimpi dikalangan kamu ialah mimpi orang yang paling benar dalam percakapannya.

ii. Bersungguh-sungguh menjaga fitrah. Diriwayatkan bahawa rasulullah s.a.w sering bertanya kepada para sahabat tentang mimpi-mimpi mereka untuk ditafsirkan. Pada suatu ketika baginda diminta oleh para sahabat untuk mentafsirkan mimpi mereka tapi baginda enggan dan berkata ‘ bagaimana aku boleh mentafsirkan mimpi kamu sedangkan pada kuku kamu terdapat kekotoran’. Kekotoran itu disebabkan mereka tidak memotong kuku sedangkan memotong kuku adalah fitrah.


iii. Tidur dalam keadaan suci dan bersih. Sabda Rasulullah s.a.w dari hadis yang diriwayatkan oleh Abi Zarr r.a. :


أوصاني خليلي بثلآث لآ أدعهن حتى أموت صوم ثلآثة أيام من كل شهر
وركعتي الفجر وأن لا أنام الآ على طهر


Maksudnya: Kekasihku yakni rasulullah s.a.w telah mewasiatkan kepadaku tiga perkara yang tidak akan aku amalkan hingga mati iaitu: berpuasa tiga hari dalam setiap bulan, solat sunat Fajar dua rakaat dan tidur dalam keadaan bersih dan suci.

iv. Tidur diatas lambung kanan dan meletakkan tangan kananya diatas paha kanan .

v. Berdoa dengan doa-doa yang baik.


Setelah mendapat mimpi seseorang pemimpi juga perlu menjaga adab-adab tertentu, iaitu :


i. Jika ia bermimpi dengan sesuatu yang dibenci maka hendaklah ia mengalihkan kedudukan badannya, berpaling kekiri dan meludah sebanyak tiga kali sambil memohon perlindungan Allah dari syaitan yang terkutuk, bangun menunaikan solat dan tidak menceritakan mimpinya kepada sesiapapun.


ii. Tidak menceritakan mimpinya kepada orang yang dikenalpasti mempunyai sifat hasad dengki. Sebagaimana kata-kata nabi Yaakub kepada anaknya Nabi Yusuf:


لآ تقصص رؤياك على اخوتك فيكيدوا لك كيدا


Maksudnya : Wahai anak, janganlah engkau ceritakan mimpi mu ini kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan satu rancangan jahat terhadapmu
Yusuf : ayat 5.


iii. Tidak menceritakan mimpinya kepada orang yang jahil, kanak-kanak dan orang perempuan.


iv. Tidak berbohong tentang mimpinya itu . Sabda Rasulullah s.a.w:


من كذب فى الرؤيا كلف يوم القيامة عقد شعيرتين.

Maksudnya:

Manakala bagi orang yang mendengar mimpi juga mempunyai adab-adab yang tertentu iaitu:


i. Berkata baik kepada orang yang bermimpi. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w apabila diceritakan kepadanya mimpi oleh para sahabat baginda berkata:


خيرا تلقاه وشرا تتوقاه وشرا لأعداءنا الحمدلله رب العالمين

Maksudnya:







ii. Menta’birkan mimpi dengan sebaik-baik tafsiran. Sabda Rasulullah s.a.w :


الرؤيا تقع على ما عبرت وروي أنه قال الرؤيا على رجل طائر ما
لم يحدث بها فاذا حدث بها وقعت


Maksudnya: Mimpi akan berlaku mengikut apa yang ditafsirkan, baginda meriwayatkan bahawa mimpi lelaki yang membawa roti yang dimakan burung sebenarnya adalah pembohongan, namun setelah ditafsirkan ia terjadi sebagaimana yang ditafsirkan.

iii. Mendengar dengan teliti mimpi yang diceritakan dan tidak tergesa-gesa
untuk menta’birkannya.


iv. Merahsiakan mimpi yang diceritakan kerana ia adalah satu amanah.


v. Tidak menta’birkannya ketika matahari sedang naik ataupun
diketika matahari sedang tenggelam.


x. Membezakan kedudukan si pemimpi ketika mentafsirkannya, contohnya tidak boleh mentafsirkan mimpi sultan sama dengan mimpi rakyat biasa .



Kesan Mimpi Kepada Psikologi Agama : Tinjauan Menurut Perspektif al-Qur’an dan al-Sunnah.


Sebagaimana yang telah dibahaskan dalam definisi mimpi juga dari tinjauan jenis mimpi berdasarkan al-Qur’an dan al-Hadis kita dapat melihat dengan jelas bahawa mimpi mempunyai asas yang kukuh dalam Islam. Berdasarkan kepada kedudukan ini mimpi memang mempunyai kesan yang besar kepada psikologi agama manusia. Hakikatnya apabila kita membicarakan kesan mimpi kepada psikologi ia mempunyai perkaitan dengan ilmu mentafsir mimpi. Ilmu mentafsir mimpi sebagaimana yang dicatatkan oleh Ibn Khaldun dalam muqaddimah, sudah wujud di kalangan masyarakat dan bangsa sebelum Islam, malangnya ilmu tafsir mimpi ini tidak sampai kepengtahuan umat Islam. Menurut Ibn Khaldun, dalam apa keadaan pun semua manusia boleh mendapat alamat mimpi, dan mimpi ini harus ditafsirkan.

Sigmund Frued dianggap sebagai tokoh psikologi moden pertama yang membahaskan tentang mimpi sebagai analisi ilmu jiwa ‘Psikoanalisis’. Dalam muqaddimah bukunya ‘ the interpretation of dreams’ memuatkan latarbelakang ilmiah tentang ilmu mentafsir mimpi. Beliau menyebut tokoh-tokoh ternama yang pernah berbicara tentang mimpi dari intelektual tamaddun Yunani seperti Aristotles, macrobius, Artimedourous. Juga dari sarjana-sarjana yang lebih terkini seperti John Lubhock, Herbert Spencer, E.B Taylor. Tetapi amat malang bagi Frued kerana mengabaikan teori-teori mimpi yang telah dibahaskan oleh tokoh-tokoh failsuf muslim seperti al-Kindi, al-Maskawaih, al-Farabi, Ibn Sina, al-Ghazalli, Ibn Khaldun dan segugusan ulamak-ulamak muslimin yang tidak terbilang banyaknya.

Bibliografi

Abdul Hadi Abu Ridah (1951) Rasail al-Kindi al-Falsafi, Kaherah: Dar al-Fikr al-Arabiy,

Abdul Malik Mujahid dalam .Dr. Muhammad Muhsin Khan (1994) Summarized Sahih al-Bukhari, Riyadh: Maktabah Dar ussalam..

al Ghazzali, Al-Risalah Al-Laduniyyah, terj. Abdullah b. Muhammad (1977) Ilmu Ladunni,

Alden E. Wessman, Carl Gustaf Jung, Encyclopedia Americana, USA: Grolier, vol 16, 1991,

al-Ghazzali, Kimya al-Saadah, dalam Majmu ‘ah Rasa’il al-Imam al-Ghazali

Al-Qaradhawi, Yusuf ( 1994), Mauqif al-Islam min al-Ilham wa alkasyf wa al-ru’ya. Kaherah: Maktabah Wahbah cet 1.

Al-Qushairi, Risalah al-Qushairiyyah,Kaherah: Matba’ah Muhammad Ali Sobih, t.t.

Amir al-Najjar, Al-Ilmu al-Nafsi al-Sufiyyah, terj. Dr. Hasan Abrori (2000), Ilmu Jiwa Dalam Tasawwuf

CD ROM al-Mausu’ah al-Hadis al-Syarif (2000), keluaran kedua, Global Islamic Software. Entri.

Che Zarrina Sa’ari, Epistemologi Islam Menurut Ibn Khaldun, dalam Jurnal Usuluddin,

Haji Zainal A’rifin Abbas ( 1973), Ilmu Tasawwuf, Kota Bharu : Pustaka Aman Press, cet 5,

Ibn Khaldun, Muqaddimah Ibn Khaldun, Beirut: Dar Ihya’ al-turas al-Arabi ( t.t),

Ibn Manzur, Lisan al-Arab

Ibn Qayyim al-Jauziyyah, AlRuh, terj. Syed Ahmad Semait (1990), Singapura: Pustaka Nasional, 1992, cet

Imam Hafiz al-Munziri, Mukhtasar Sahih Muslim, Riyadh: Dar Ibn Khuzaimah vol 5, 1994,

Jack Maguire (1989), Night and Day, New York: Simon and Schuster, 1989,

Jalaluddin , prof. ( 1996), Psikologi Agama, Jakarta: PT RajaGrafindo, cet 8, 2004

Leah Kinberg, Dream and Sleep, dlm Encyclopedia of the Qur’an, Jane Dammon Mc Auliffe et. Al, Leiden: Koninklijke Brill NV, Vol A-D, 2001,

Lucien Morgan (1996), Dream and symbol, London: Tiger Book International,

Majalah al-Islam, Kuala Lumpur : Utusan Melayu sdn bhd, november 1998,

Malik Badri, , Konflik Ahli Psikologi Islam, terj. Fadhlullah Wilmot, Petaling Jaya: IBS buku, 1989,

Muhammad Ibn Sirin, Muntakhab al-Kalam, Di tahkikkan oleh Fatimah Muhammad Ahlun, Beirut: Dar Ihya alTuras al-Arabiy, 2000.

Muhammad Utsman Najati(1993) Dirasat Al-Nafsiyyah Inda ulama’ al-Muslimin , Kaherah: Dar al-Syuruq.

Raihaniah Zakaria ( 2005), Epistemologi Ilmu Ibn Khaldun: Analisis Peranannya Dalam Menangani Krisis Pemikiran Ummah, Kertas kerja yang dibentangkan dalam kuliah Epistemologi Islam( IAGU 6111) pada 19 september 2005 di bawah seliaan Prof Madya Dr. Che Zarrina Sa’ari bertempat di bilik kuliah 19, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya ( Tidak diterbitkan.)

Sahih al-Bukhari, Bab al-Ta’bir Beirut: Dar Ihya al-Kutub al-A’rabiyyah, (t.t), jil 4,

Sigmund Freud (1911), The Interpretation of Dreams’, terj. Apri Donarto et. Al (2001

Tafsir Mimpi,

Sururin M. Ag. ( 2004), Ilmu Jiwa Agama, Jakarta: PT RajaGrafindo, cet i.

Uthman Najati, Muhammad Dr. al-Hadith al-Nabawiy wa Ilm a-Nafs, terj. Wawan Djunaidi Soffendi ( 2003) Psikologi Dalam Tinjauan Hadis Nabi Muhammad s.a.w., Mustaqim: Jakarta cet 1.

Wan Mohd Nor Wan Daud (1998) The Educational Philosophy an Practise Of Syed Muhammad Naquib al-Attas, Kuala Lumpur: ISTAC, h 267.

1 comment:

  1. salam pn raihaniah, boleh x sy dapatkan salinan lengkap kertas kerja puan sebagai rujukan? email sy firwan.hassan@gmail.com
    tima kasih banyak- banyak..

    ReplyDelete