Monday, August 31, 2009

Amalan-amalan utama Ramadhan

AMALAN-AMALAN UTAMA DI BULAN RAMADHAN YANG MENJANJIKAN KEAMPUNAN, RAHMAT DAN KESELAMATAN DARI API NERAKA.

Raihaniah Zakaria IPGM Perlis

raihaniah@yahoo.com

http://www.raihaniah.blogspot.com

PENDAHULUAN

Allah telah mewajibkan hambanya untuk berpuasa sebulan pada bulan Ramadhan untuk kebaikan dan kesejahteraan hidup manusia itu sendiri. Ibadat puasa ini sebenarnya telah difardhukan kepada umat-umat yang terdahulu sebelum umat Nabi Muhammad s.a.w. Dalam agama Yahudi dan juga Nasrani ada syariatkan berpuasa, begitu juga dalam agama yang tidak ada kaitan dengan agama samawi seperti hindu dan Buddha juga terdapat amalan berpuasa. Tetapi puasa mereka tentulah tidak bersesuaian dengan fitrah bersih sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah S.W.T. Ada setengah agama yang menganjurkan umatnya berpuasa berhari-hari tanpa berbuka dan ada pula yang terlalu ringan anjuran puasanya seperti berpuasa hanya pada malam hari atau berpuasa terhadap makanan-makanan tertentu sahaja. Islam dengan kebenaran risalahnya menganjurkan satu puasa yang amat sesuai dengan fitrah manusia tidak terlalu memberat dan tidak terlalu ringan sehingga meremehkan.

ANDA HARUS TAHU MENGAPA ALLAH MEWAJIBKAN ANDA BERPUASA

Allah S.W.T mewajibkan hambanya berpuasa kerana kasih dan sayangnya kepada kita. Disiplin, kesabaran, kasih sayang, komunikasi yang baik, zikrullah adalah elemen-elemen yang penting untuk mencapai al-Falah. Kesemua elemen itu ada dalam puasa. Kemuncak kepada pencapaian kesemua itu adalah takwa kepada Allah S.W.T.

Tujuan Allah mewajibkan hambanya berpuasa adalah untuk mencapai takwa. Orang yang bertakwa akan dapat mengendalikan nafsu shahwat yang menjadi punca kepada segala keburukan, dengan itu ia taat dan patuh kepada segala perintah Allah S.W.T. Salah satu cara untuk menundukkan hawa nafsu ialah dengan berpuasa. Firman Allah S.W.T dalam ayat 183 Surah al-Baqarah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Ertinya: Wahai orang yang beriman diwajibkan ke atasmu berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang sebelum kamu semoga kamu bertakwa.

BICARA RASULULLAH TENTANG KELEBIHAN, AMALAN AMALAN UTAMA DAN TIPS MENCAPAI TAKWA

A. KELEBIHAN BERPUASA

1. PUASA MENYIHATKAN TUBUHMU

عن ابي هريرة رضي الله عنه قال. قال رسول الله صلي الله عليه وسلم: أَغُدُّوا تَغَنَّمُوا وَصُومُوا تَصِحُّوا وَسَافَرُوا تَسْتَغنوا(رواه الطبرانى فى الأوسط ورواته ثقات)

Maksudnya:

Lakukanlah sesuatu perkara pada waktu pagi nescaya kamu akan untung, berpuasalah nescaya kamu akan sihat, bermusafirlah nescaya kamu akan kaya.

Dunia perubatan moden hari ini menunjukkan dengan jelas tentang faedah berpuasa dalam merawat berbagai-bagai jenis penyakit seperti diabetes, obbesiti, masalah penghadaman pencernaan dan sebagainya. Adalah biasa kita melihat di katil-katil hospital perkataan ‘BERPUASA’. Faedahnya kepada orang sakit sebagai rawatan manakala kepada orang yang sihat sebagai pencegahan daripada datangnya penyakit.

2. PUASA MENGUATKAN ROH DAN MENGALAHKAN NAFSUMU

Orang yang berpuasa akan ringan untuk melakukan ibadat diwaktu malam hari. Ini adalah kerana nafsu dapat ditundukkan dengan berlapar. Hakikat ini jelas dapat dilihat dimana pada bulan Ramadhan masjid-masjid akan dipenuhi oleh jemaah untuk solat terawih. Sabda Rasulullah s.a.w:

عن ابن مسعود رضي الله عنه قال، قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: يَا مَعْشَرَ الشَّبَابَ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ البَاءَة فَلْيَتَزَوَّج فَإنه اَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَاَحْصَنَ لِلْفَرْجِ وَمَنْ لَم يَسْتَطِع فَعَلَيْهِ بِالصَّوم فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ (رواه البخارى ومسلم)

Ertinya: Wahai para pemuda! Sesiapa yang mampu berkahwin antara kamu hendaklah ia berkahwin, kerana dengan itu terpelihara mata dan terkawal kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu hendaklah berpuasa kerana dengan berpuasa terkawal nafsu.

3. PUASA MELATIH DIRIMU MENGHARGAI NIKMAT ALLAH

Nikmat kesedapan sesuatu makanan sebenarnya hanya dapat dirasai secara maksimum oleh orang yang lapar. Orang yang sentiasa kenyang kurang menilai nikmat kesedapan. Sabda Rasulullah s.a.w:

عن ابي هريرة رضي الله عنه قال، قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: للصائم فرحتان فرحة حين يفطر وفرحة حين يلقى ربه ( رواه الترمذي)

Ertinya: Orang yang berpuasa akan merasai dua nikmat kegembiraan, kegembiraan ketika berpuasa dan kegembiraan di saat bertemu Allah S.W.T.

4. MELATIH DIRIMU BERSIFAT SABAR

Sabda Rasululllah S.A.W:

روي عن ابر هريرة رضى الله عنه قال، قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: لِكُلِّ شَيئٍ زَكَاةً وَزَكَاةِ الجَسَدِ الصَّوم وَالصِّيَام نصف الصبر (رواه ابن ماجه)

Maksudnya: Setiap sesuatu mempunyai zakatnya dan zakat tubuh ialah berpuasa dan puasa itu adalah separuh dari kesabaran.

5. DOA MU DI KABULKAN ALLAH

Sabda Rasulullah s.a.w:

ثلاث حق على الله ان لايرد لهم دعوة الصائم حتى يَفْطُر والمَظْلُوم حَتَّى يَنْتَصِرُ وَالمُسَافِر حَتَّي يَرْجِع( رواه البزار)

Maksudnya: Ada tiga golongan yang menjadi hak Allah untuk tidak menolak doa mereka, iaitu: orang yang doa orang yang berpuasa hingga ia berbuka, doa orang yang dizalimi sehingga ia ditolongi dan doa orang yang musafir hingga ia kembali

B. BICARA RASUL TENTANG KELEBIHAN AMALAN PADA BULAN RAMADHAN

1. PUASA PADA SIANGNYA DAN QIAMULLAIL PADA MALAMNYA DENGAN PENUH KEIMANAN DAN KEINSAFAN MENJADI SEBAB KEPADA MENDAPAT RAHMAT DAN KEAMPUNAN.

Sabda Rasulullah S.A.W:

عن ابي هريرة رضى الله عنه ان النبي صلى الله عليه وسلم قال: مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيْمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ (متفق عليه)

Maksudnya: Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keinsafan yang mendalam, maka Allah akan mengampuni dosanya yang telah lalu.

2. ALLAH MENAWARKAN TAWARAN MEGA DENGAN MELIPATGANDAKAN PAHALA YANG TIDAK ADA PADA BULAN LAIN.

عن سلمان رضى الله عنه قال خطبنا رسول الله صلى الله عليه وسلم فى آخر يوم من شعبان : يآأيها الناس قَدْ اَظَلَّكُم شَهْرٌ عَظِيْمٌ مُبَارَكٌ شَهْرٌ فِيْهِ لَيْلَةً خَيْرٌ مِنْ اَلْفِ شَهْرٍ، شَهْرٌ جَعَلَ الله صِيَامه فَرِيْضَة وقيام ليله تَطَوُّعًا مَنْ تَقَرَّبَ فِيْهِ بِخِصْلَةٍ كَانَ كَمَنْ اَدَّي فَرِيْضَةً فِيْمَا سِوَاهُ وَمَنْ اَدَّي فَرِيضَة فِيْهِ كَانَ كَمَنْ اَدَّي سَبْعِيْنَ فَرِيْضَة فِيْمَا سِوَاهُ وَهُوَ شَهْرُ الصَّبْر وَالصَّبْر ثَوَابَهُ الجَنَّة.... الحديث ( رواه ابن حزيمة والبيهقى وابن حبان)

Maksudnya: Daripada Salman r.a. katanya Rasulullah s.a.w telah berkhutbah kepada kami pada suatu hari di akhir bulan Syaaban katanya: Wahai manusia kamu akan menempuh bulan yang agung yang penuh dengan keberkatan. Bulan di mana di dalamnya ada satu hari yang lebih baik dari seribu bulan iaitu malam Lailatul Qadar. Bulan dimana Allah mewajibkan siangnya untuk berpuasa dan qiam pada malamnya sebagai hadiah. Sesiapa yang mendekatkan diri kepada Allah dengan amalan sunat sama seperti melakukan ibadat fardhu. Dan sesiapa yang melakukan satu ibadat fardhu pahalanya sama seperti telah melakukan tujuh puluh kali ibadat fardhu dalam bulan-bulan yang lain. Bulan ini adalah bulan kesabaran. Dan kesabaran itu balasannya adalah syurga.

3. TERDAPAT DI DALAMNYA SATU MALAM YANG DINAMAKAN MALAM LAILATUL QADAR.

Malam ini disebut oleh Allah S.W.T dalam surah al-Qadar sebagai satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Sesiapa yang melakukan ibadat dan berdoa pada malam ini seolah-olah ia telah beribadat kepada Allah selama 83 tahun iaitu seribu bulan. Allah akan mengampuni orang yang memohon ampun kepadanya pada malam ini dan mengabulkan segala permintaan orang yang berdoa pada malam ini. Sabda Rasulullah s.a.w:

عن عائشة رضى الله عنها قالت قال رسول الله صلى الله عليه وسلم " تحروا ليلة القدر فى العشر الأواخر من رمضان"

Maksudnya: Daripada Aisyah r.a katanya Rasulullah S.A.W bersabda: Carilah malam Lailatul Qadar pada malam sepuluh terakhir Ramadhan.

1. BERSEDEKAH

Sabda Rasulullah s.a.w:

عن انس رضي الله عنه قال : يا رسول الله أي الصدقة افضل. قال صدقة فى رمضان ( رواه الترمذي)

Maksudnya: Daripada Anas r.a berkata beliau bertanya Rasulullah S.A.W: Wahai Rasulullah manakah sedekah yang lebih utama? Baginda menjawab sedekah pada bulan Ramadhan.

Rebutlah peluang untuk

2. MEMBACA AL-QUR’AN SECARA INTENSIF

Kedudukan seseorang disyurga ditentukan melalui banyak atau sedikit ayat-ayat al-Qur’an yang dibaca dan dihayati dalam hidupnya. Sesiapa yang paling banyak membaca dan menghayati isi kandungan al-Qur’an akan berada di kedudukan yang tinggi di syurga. Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan al-Nasa’i bahawa Rasulullah S.A.W banyak membaca al-Qur’an pada bulan Ramadhan, juga bertadarus dengan malaikat Jibril dan para sahabat. Sabda Rasulullah s.a.w:

عن عبدالله بن عمروا بن العاص رضي الله عنه قال قال رسول الله صلي الله عليه وسلم: من قام بعشر ايات لم يكتب من الغافلين ومن قام بمائة اية كتب من القانطين ومن قام بألف اية كتب من المقنطرين ( رواه ابو داوود وابن خزيمه)

Maksudnya: Sesiapa yang Qiamullail dengan membaca sepuluh ayat maka Allah tidak akan mencatatnya sebagai orang yang lalai, sesiapa yangmembaca seratus ayat maka Allah akan mencatatnya sebagai orang yang taat, sesiapa yang membaca seribu ayat maka Allah akan mencatatnya sebagai jutawan ( Dari sudut pahala dan kedudukannya di syurga).

Telah warid dalam beberapa hadis bahawa rumah yang di dalamnya ada didirikan solat dan dibacakan al-Qur’an oleh penghuninya akan dikunjungi oleh Malaikat yang mendoakan ketenangan dan kesejahteraan pada penghuni rumah tersebut. Manakala rumah yang tidak ada di dalamanya orang yang solat dan membaca al-Qur’an di sifatkan oleh Rasulullah sebagai kubur, tiada keberkatan di dalamnya dan penghuninya merasa sempit dan tiada ketenangan.

3. MENJAMU ORANG BERBUKA PUASA

Sabda Rasulullah s.a.w:

وروي عن سلمان رضي الله عنه قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم من فطر صائما على طعام وشراب من حلال صلت عليه الملائكة فى ساعات شهر رمضان وصافحه جبريل ليلة القدر ومن صافحه جبريل عليه السلام يرق قلبه وتكثر دموعه..... الحديث ( رواه ابو الشيخ بن حبان فى كتاب الثواب و الطبرانى فى الكثير)

Maksudnya: Sesiapa yang menjamu orang berbuka dengan makanan dan minuman dari sumber yang halal maka dirinya akan diselawati oleh Malaikat pada setiap waktu dibulan Ramadhan dan akan di salam oleh Jibril pada malam Lailatul Qadar. Dan sesiapa yang disalami oleh Jibril pada malam tersebut tandanya ialah akan lembut hatinya dan banyak mengalirkan air mata kerana takut dan tamak kepada keredhaan Allah S.W.T.

4. IKTIKAF

Iktikaf ialah berada di Masjid dengan niat iktikaf dalam keadaan suci dari hadas besar dan kecil. Semasa iktikaf kita melakukan berbagai-bagai ibadat seperti berzikir, membaca al-Qur’an tafakkur, mempelajari ilmu dan sebagainya. Sabda Rasulullah S.A.W:

عن ابي هريرة رضى الله عنه كان النبي صلي الله عليه وسلم يعتكف فى كل رمضان عشر ايام ولما كان عام الذي قبض فيه اعتكف عشرين يوما ( رواه البخاري)

Maksudnya: Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W telah beriktikaf pada tiap-tiap bulan Ramadhan selama sepuluh hari tetapi pada tahun baginda wafat, baginda beriktikaf selama dua puluh hari.

5. MELAKUKAN SOLAT SUNAT TERAWIH DAN SOLAT SUNAT WITIR

Solat sunat terawih dilakukan selepas solat Isyak pada malam bulan Ramadhan. Ia boleh dilakukan secara berjemaah atau bersendirian sama ada lapan atau dua puluh. Setiap dua rakaat satu salam. Kemudian diakhiri dengan tiga rakaat solat witir.

Cara Melakukan Solat Sunat Terawih

Lafaz Niat:

اُصَلِّى سُنَّةَ التَّرَاوِيْح رَكَعَتَيْنِ لله تَعَالَى.

Maksudnya:

Sahaja aku solat sunat terawih dua rakaat kerana Allah Ta’ala.

6. MELAZIMI QIAMULLAIL

Iaitu bangun diwaktu malam hari setelah tidur untuk beribadat kepada Allah dengan melakukan solat-solat sunat seperi solat sunat Tahajjud, solat sunat tasbih, solat sunat hajat, membaca al-Qur’an, berdoa dan berzikir. Paling minima sesorang itu Qiam pada bulan Ramadhan ialah dengan menunaikan solat Isyak dan solat subuh berjemaah.

7. MEMBANYAKKAN ZIKIR, ISTIGHFAR DAN DOA UNTUK DIRI SENDIRI, IBU BAPA ANAK-ANAK SERTA MUSLIMIN DAN MUSLIMAT. ALLAH MENYURUH KITA BERDOA DAN IA BERJANJI AKAN MENGABULKANNYA.

DOA-DOA YANG SANGAT BAIK DIBACA DI SAAT HAMPIR BERBUKA PUASA (SEELOK-ELOKNYA MINTA SEMUA AHLI KELUARGA BERDOA BERSAMA-SAMA KERANA DISAAT ITU DOA AMAT MAKBUL

1. DOA MEMOHON RAHMAT (DOA UTAMA PADA 10 AWAL RAMADHAN)

رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

Maksudnya:

Wahai tuhan kami berikanlah rahmat kepada kami dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami ( surah al-Kahfi ayat 10)

2. DOA MEMOHON SUPAYA KETURUNAN KITA ORANG YANG MENDIRIKAN SOLAT SERTA DOA KESEJAHTERAAN MENYELURUH UNTUK SEMUA ORANG-ORANG BERIMAN: Ayat 40-41 Surah Ibrahim

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلاَةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Wahai Tuhanku jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat, Ya Allah perkenankanlah doaku. Wahai Tuhan ampunilah aku dan kedua ibu bapaku dan sekelian orang-orang mukmin pada hari terjadinya kiamat

3. DOA MEMOHON SUPAYA MENJADI ORANG YANG HIDUP CEMERLANG DUNIA DAN AKHIRAT

اَللَّهُمَّ اَصْلِحْ لِى دِيْنِى الَّذِى هُوَ عِصْمَةُ اَمْرِى وَاَصْلِحْ لِى دُنْيَايَ الَّتِى فِيْهَا مَعَا شِى وَاَصْلِحْ لِى آخِرَتِى الَّتِى فِيْهَا مَعَادِى وَاجْعَلِ الحَيَاةَ زِيَادَةً لِى فِى كُلِّ خَيْرٍ وَاجْعَلِ المَوْتَ رَاحَةً لِى مِنْ كُلِّ شَرٍّ اَللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ عُمْرِى آخِرَهُ وَخَيْرَ عَمَلِى خَوَاتِمَهُ وَخَيْرَ اَيَّامِى يَوْمَ اَلْقَاكَ فِيْه.

Ya Allah cemerlangkanlah urusan agamaku kerana ia akan menjaga urusan hidupku. Ya Allah perelokkanlah urusan duniaku kerana padanya aku menjalani kehidupan, Ya Allah cemerlangkanlah urusan akhiratku kerana padanya tempat kembaliku. Ya Allah jadikanlah kehidupanku didunia ini bertambah-tambah dengan kebaikan dan jadikanlah matiku nanti sebagai kerehatan daripada segala keburukan. Ya Allah jadikan sebaik-baik umurku ialah pada penghujungnya dan sebaik-baik amalanku ialah pada penutupnya dan sebaik-baik

hari bagiku ialah disaat aku berjumpa denganmu ya Allah.

4. DOA MENYELURUH MEMOHON

KEBAIKAN DUNIA DAN AKHIRAT

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

"Wahai Tuhan kami, berilah Kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah Kami dari azab neraka". (Surah al-Baqarah ayat 201)

5. DOA MALAM LAILATUL QADAR. DIBACA SETIAP MALAM PADA BULAN RAMADHAN

اَلَّلهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيْمٌ تُحِبُّ العَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

6. DOA KETIKA BERBUKA PUASA

اَلَّلهُمَّ لَكَ صُمْتُ وَبِكَ آمَنْتُ وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْن

D. BICARA RASULULLAH TENTANG AMALAN YANG PERLU DIJAUHI DALAM BULAN RAMAADHAN

1. Berbuka puasa tanpa sebarang keuzuran. Ia adalah dosa besar kerana berpuasa adalah rukun dan wajib keatas setiap mukallaf Sabda Rasulullah s.a.w:

عن ابي هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال من أفطر يوما من رمضان في غير رخصة رخصه الله لم يقض عنه بصيام الدهر وان صامه ( رواه البخاري والترمذي)

Maksudnya: Sesiapa yang berbuka puasa Ramadan sehari tanpa sebarang keuzuran. Dia tidak akan dikira menunaikannya walaupun dia berpuasa sepanjang masa

2. Bergaduh, bertikam lidah

عن ابي هريرة رضى الله عنه ان رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: قال الله عزوجل... فإن شاتمه احد او قاتله فليقل إنى صائم مرتين ( رواه احمد ومسلم والنسائي)

Maksudnya Allah S.W.T berfirman: Jika orang yang berpuasa dicaci atau dicabar untuk berkelahi maka hendaklah ia berkata “ Aku sedang berpuasa” sebanyak 2 kali

3. Menjaga lidah dari mengumpat, melaknat, berdusta kerana ia akan mengurangkan pahala puasa mu Sabda Rasulullah S.A.W:

الصيام جنة فإذا كان يوم صوم احدكم فلا يرفث ولا يصخب( رواه البخاري)

Maksudnya: Puasa itu adalah perisai. Apabila seseorang itu berpuasa maka janganlah ia mencaci, memaki dan menghasut.

No comments:

Post a Comment