Wednesday, August 12, 2009

Kaedah Tadarrus dan Koperatif Learning: Satu Kajian Perbandingan

Raihaniah bt Zakaria dan Tn. Hj Md Rusli b. A. Rashid
Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis




1.0 Pengenalan


Kajian ini cuba untuk melihat secara lebih dekat tentang prinsip dan teknik kaedah tadarrus yang telah diasaskan oleh Rasulullah s.a.w serta perbandingannya dengan pembelajaran koperatif yang dicanangkan oleh pakar-pakar pendidikan moden. Analisis ini bertujuan untuk menambah baikan sistem pembelajaran yang sedia ada. Perbincangan ini didahului dengan pengenalan konsep kedua-dua kaedah yang dimulai dengan konsep tadarrus dan seterusnya konsep koperatif learning. Selanjutnya kedua-dua konsep ini dianalisis untuk melihat kesamaan dan perbezaan bagi kedua-dua kaedah ini. Perbincangan seterusnya berusaha untuk menyepadukan kedua-dua kaedah ini bagi mencapai keberkesanan yang jitu dalam pelaksanaan kaedah ini dalam arus pendidikan di Malaysia.



2.0 Tujuan Kajian


1. Memperkenalkan kaedah tadarrus sebagai satu kaedah pengajaran yang boleh diimplementasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam semua mata pelajaran

2. Menyepadukan keistimewaan kaedah tadarrus dalam kaedah koperatif learning



3.0 Metodologi Kajian



Kajian ini adalah kajian kualitatif yang dijalankan untuk mendapatkan kefahaman yang mendalam tentang konsep kaedah tadarrus dan konsep koperatif learning. Ia juga dijalankan untuk mendapat maklumat yang terperinci dan mendalam terhadap kelebihan dan kekurangan kedua-dua konsep tersebut. Metod yang digunakan dalam pengumpulan data kajian ini ialah metod penyelidikan perpustakaan.Pengkaji mengunakan kaedah ini untuk mendapatkan bahan-bahan dari buku-buku yang berkaitan dengan kajian ini terutamanya dalam mencari bahan untuk mendapatkan kajian terdahulu yang berkaitan. Dalam menganalisis data pengkaji mengunakan metod induktif dimana pengkaji membina konsep, membuat hipotesis dan teori bagi kedua-dua kaedah tersebut untuk dikembang dan dinyatakan secara jelas. Data-data dan fakta yang diperolehi dibandingkan dengan mengunakan metod komparatif bagi mendapat satu kesimpulan yang tepat.




4.0 Dapatan Kajian



4.1 Definisi Kaedah Tadarrus


Dari sudut Bahasa Tadarrus berasal dari bahasa Arab yang kata asalnya dari kalimah Darasa. Dalam Lisanul Arab kalimah Darasa bererti membaca dan dibacakan yakni saling membaca dan menyemak secara bersungguh-sungguh. Dari sudut istilah kaedah tadarus ialah kumpulan kecil yang biasanya tidak melebihi 4 orang. Seorang membaca yang lain mendengar dan membetulkan bacaan jika terdapat kesalahan dalam bacaan rakannya . Aktiviti ini berjalan serentak kepada semua kumpulan. Murid-murid membaca secara bergilir-gilir dalam kumpulan.



4.2 Definisi Pembelajaran Koperatif


Pembelajaran koperatif merujuk kepada kaedah pengajaran yang memerlukan murid dari pelbagai kebolehan bekerjasama dalam kumpulan kecil untuk mencapai satu matlamat yang sama (Slavin, 1990). Sasaran adalah tahap pembelajaran yang maksimum bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga untuk rakan-rakan yang lain.


4.3 Prinsip Kaedah Tadarrus


1. Proses Pengajaran Dan Pembelajaran Dilaksanakan Dalam Halaqah
2. Proses Pengajaran Dan Pembelajaran Mengunakan Kaedah Talaqqi Musyafahah (Verbal
Linguistic)
3. Membentangkan Bacaan
4. Latih Tubi Dan Ulangan
5. Isi Kandungan Dan Matlamat Yang Tetap Dan Jelas


4.4 Prinsip Pembelajaran Koperatif


1. Pelajar perlu saling bergantungan positif untuk mencapai objektif gerak kerja.

2. Interaksi Promotif Yang dilakukan Secara Bersemuka

3. Akauntabiliti Individu dan Kumpulan

4. Mengajar Pelajar Kemahiran Interpersonal yang diperlukan dan Kemahiran Bekerja dalam
Kumpulan Kecil

5. Memperoses Kumpulan




Halaqah atau duduk dalam bentuk bulatan atau separa bulatan. Sebelum memasuki halaqah mereka mesti berpakaian kemas, bersih, memakai bau-bauan serta berwudhuk. Mereka duduk dalam keadaan khusyuk.



4.5. Dapatan Perbandingan



Apabila diteliti kepada ciri-ciri pelaksanaan antara konsep koperatif learning dan konsep tadarrus kita akan dapat melihat kesamaan yang amat ketara di antara kedua-dua konsep ini dari sudut zahirnya. persamaan tersebut dapat diteliti dalam perkara-perkara berikut:


1. Ketergantungan positif dalam kaedah koperatif menyamai dengan ciri pelaksanaan tadarrus dimana berlakunya usaha sendiri untuk meningkatkan kecekapan dan prestasi diri individu melalui aktiviti kumpulan dalam kaedah tadarrus. Kejayaan hanya boleh dicapai bersama-sama iaitu hasil daripada usaha semua orang.


2. Kesamaan ciri yang amat ketara juga dalam kooperatif learning dan tadarus ialah berlakunya Interaksi Promotif Yang dilakukan Secara Bersemuka. Dalam tadarrus ciri ini dinamakan talaqi musyafahah. Dalam talaqi Musyafahah Setiap ahli akan bersama-sama membaca dan mendengar serta menyemak bacaan yang diperdengarkan oleh semua ahli kumpulan melalui kaedah bergilir-gilir.


3. Akauntabiliti Individu dan Kumpulan dalam kaedah kooperatif juga amat ditekankan dalam kaedah tadarrus. Kedua-duanya menekankan tentang keperluan setiap ahli bertanggungjawab memastikan kejayaan matlamat kumpulan. Akauntabiliti dalam kaedah tadarrus dimotivasikan lagi dengan pendekatan hati iaitu setiap ahli yang bersama-sama menyumbang akan mendapat ganjaran pahala dan kebaikan yang berlipatganda


4. Kemahiran Interpersonal dan Kemahiran Bekerja dalam Kumpulan Kecil dalam pembelajaran kooperatif juga diimpelimentasi dalam kaedah tadarrus. Namun demikian Kaedah tadarrus lebih jelas dan terperinchi dari sudut adab-adab pelaksanaanya iaitu apabila seseorang itu menjadi ahli kumpulan tadarrus maka dia telah menyatakan kesanggupannya untuk mendedahkan kelemahan dirinya kepada orang lain demi menjadi pandai dan cekap.



5.0 Rumusan



1. Kaedah taddarus bukan saja mengandungi unsur-unsur penyerapan dan pembelajaran ilmu malah ia merupakan satu latihan sosial dan pendidikan hati. Dilihat dari sudut ini, kaedah taddarus ialah satu kaedah yang sungguh lengkap dari perspektif dan kandungan etimologi, sosiologi dan epistomologi.


2. Kemahiran –kemahiran sosial yang berteraskan adab-adab Islam dalam menuntut ilmu, dalam perbincangan perlu diajar bersama-sama dengan kemahiran-kemahiran akademik yang lain.


3. Dalam konteks pembelajaran dan pengajaran, niat boleh dijadikan sebagai mekanisme penting dalam membina motivasi pengajaran dan pembelajaran.


4. Memulia dan menghormati guru. Menurut al-Zarnuji seseorang penuntut ilmu itu tidak akan sampai kepada matlamatnya melainkan dengan penghormatan kepada gurunya, ilmunya dan yang berkaitan dengannya. Memuliakan guru adalah sebahagian dari memuliakan ilmu. Ia menimbulkan keberkatan dan mendapat limpahan rahmat dari Allah S.W.T.



6.0 Rujukan


1. Al-Zarnuji, Burhan al-Islam, Kitab Ta’lim al-Mutaalim Tariq al-Ta’lum, ed. Muhammad Abd
al-Qadir Ahmad, Kaherah: Matba’ah al-Sa’adah, 1986.
2. Abd al-Somad al-Falimbani, Siyar al-Salikin, Singapura: Pustaka Nasional, juz 1-2
3. Al-Ghazzali, Ihya Ulumiddin, Kaherah: Matba’ah al-Istiqamah, jil 1-3
4. Wan Suhaimi Wan Abdullah (2002), “Falsafah Pengajaran dan Pembelajaran Dalam Islam:
Suatu Analisis Karya al-Zarnuji”, dalam Jurnal Afkar, bil.3, jurnal Afkar bil 3 2002. Universiti
Malaya: Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam.
5. Fairuzah Hj. Basri et. al (2008), Tamadun Islam dan Tamadun Melayu. UPENA: UiTM Shah
Alam,
6. Mohd. Yusuf Ahmad (2005), Sejarah dan Kaedah Pendidikan al-Qur’an. Kuala Lumpur:
Penerbit Universiti Malaya, cet. 4,
7. Kamarudin Hj Husin et. al (2003), Pedagogi Untuk Asas Pendidikan. Kumpulan Budiman:
Kuala Lumpur
8. Slavin, R. (1990) Cooperative Learning : Theory, Research and Practice. Englewood Cliff, NJ:
Prentice Hall.
9. Johnson, d.W.,& Johnson, R.T (1991). Learning together and alone : Cooperative, Competitive,
and individualistic learning ( 3rd Ed.). Upper Saddle river, NJ: Prentice-Hall.
10.http://researchipbmm2008.blogspot.com/2008/01/mengapa-menggunakan-kaedah-kualitatif.html
13/7/2009


Kertas Kerja ini adalah Poster Presentation yang dibentangkan dalam:
Seminar Penyelidikan Pendidikan IPGM
Zon Utara 2009 Bertempat di Hotel Copthorne Tanjung Bungah Pulau Pinang
Pada 22-24 Julai 2009.


Untuk Keterangan Lanjut Sila Hubungi:
Raihaniah bt. Zakaria
Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis
Email:raihaniah@yahoo.com

3 comments:

  1. Satu kaedah yang menarik dan baru, boleh dilaksanakan dalam semua subjek. Tahniah. From Amani

    ReplyDelete
  2. eh silap-silap, menarik menarik menarik...

    ReplyDelete