Tuesday, February 16, 2016

Kisah Atheist berdialog dengan Imam Abu Hanifah


بسم الله الرحمن الرحيم
Kisah ini umi ceritakan pada pelajar-pelajar umi dalam kelas Pengajian Akidah Semester 2 Pengajian Agama. Cerita-cerita santai tentang jawapan-jawapan logik untuk membuktikan adanya Tuhan dan lain-lain persoalan akidah memang patut diketahui dan dihayati oleh semua hamba Allah yang berakidah.  Pengetahuan dan cara kaedah jawapan sedemikian lebih-lebih lagi amat wajar diketahui dan dihayati oleh para guru Agama...Orang bukan Islam  dan kanak-kanak umpamanya inginkan jawapan logik tentang Tuhan, Orang bukan Islam  tidak mahu mendengar dalil-dalil Qur'an atau hadis kerana mereka memang tidak beriman dengan al-Qur'an dan Hadis...mai kita baca dan hayati cerita ini sehingga kita faham dan boleh tuturkan semula kepada sesiapa saja yang ragu terhadap kewujudan Allah S.W.T:

Hikayat Dahri ( Atheist) Dengan Imam Abu Hanifah

Diriwayatkan bahawa seorang Dahri atau Mulhid telah menemui Hammad, guru Imam Abu Hanifah. Sebelum itu ia meminta para Ulama berhujjah dengannya sambil berkata "Kamu mengatakan Allah itu ada tetapi tiada bertempat, sedangkan setiap yang maujud itu mesti bertempat". Ramai dari kalangan para Ulama telah dikalahkannya dengan pertanyaan tersebut, lalu si Dahri itu bertanya kepada orang ramai: "Adakah masih terdapat di kalangan kamu seorang Ulama lagi yang boleh berhujjah denganku?" Orang ramai menyahuti. "Ada  iaitu Hammad". Si Dahri itu pun meminta
'kepada Khalifah supaya meminta Hammad berhujjah dengannya. Khalifah pun memanggil Hammad yang meminta supaya diberi tangguh hingga esok hari. Pada keesokan pagi, Abu Hanifah yang masih kecil lagi itu datang dan mendapati Hammad gurunya dalam keadaan amat berdukacita. Lalu Abu
Hanifah pun menanyakan sebabnya. Gurunya menjawab: "Aku telah dipanggil  oleh Khalifah supaya berhujjah dengan si Dahri  di perhimpunan para Ulama. Semalam aku bermimpi sesuatu yang amat buruk." Abu Hanifah bertanya: "Apa yang Tuan Guru mimpikan?" Hammad menjawab: "Aku lihat
sebuah dusun yang sangat luas lagi berhiasan dan terdapat sepohon pokok kayu yang berbuah. Kemudian muncul seekor babi dari suatu penjuru kampung dan memakan buah-buah
kayu itu hingga habis termasuk daun-daun dan dahan pohon itu yang tinggal hanya batangnya sahaja. Kemudian datang pula  seekor harimau daripada umbi pohon kayu itu dan menerkam babi itu dan membunuhnya".

Abu Hanifah lantas berkata: "Allah Ta'ala telah mengajarkan saya ilmu ta'bir mimpi. Saya dapati mimpi ini baik bagi kita dan buruk bagi musuh kita. Jika Tuan Guru izinkan, bolehlah saya ta'birkannya." Hammad menjawab: "Ta'birkanlah, wahai Nu'man!" Nu'man ialah nama sebenar Abu Hanifah. Abu Hanifah pun menjelaskan: "Dusun luas yang berhiasan itu ialah agama Islam. Pohon kayu yang berbuah itu ialah para Ulama. Batangnya yang tinggal itu ialah Tuan Guru. Babi itu ialah si Dahri dan harimau yang membunuh Dahri itu adalah saya. Berangkatlah dan saya akan turut
menyertai Tuan Guru. Dengan berkat hemat Tuan Guru dan berkat hadhrat Tuan Guru, saya akan patahkan hujjahnya!" Hammad gembira dengan kata-kata Abu Hanifah tersebut, dan kedua duanya  pun bangun berjalan menuju ke Masjid Jami' kemudian  Kfialifah pun tiba dan orang ramai mula
berhimpun di majlis itu. Abu Hanifah berdiri di depan ranjang gurunya di tempat yang rendah sambil memegang kaus gurunya dan kausnya sendiri. Kemudian tiba pula si Dahri yang terus naik minbar serta bertanya: "Siapakah yang akan menjawab soalan-soalanku?" Abu Hanifah menjawab: Nyatakan soalan kamu yang mengetahuinya akan menjawabnya." Si Dahri itu bertanya: "Siapa engkau ini, wahai kanak- kanak? Engkau bercakap kepadaku sedangkan orang-orang yang mempunyai kemegahan dan orang-orang yang tua bersarban besar, berpakaian labuh dan berlengan baju yang
luas tidak berupaya menandingiku. Inikan pula engkau seorang yang masih kecil, mentah dan hina?"
Abu Hanifah manjawab: ''Allah Ta'ala tidak memberikan ketinggian dan kebesaran kepada orang yang bersarban besar, berpakaian penuh kemegahan dan berlengan baju yang luas,
tetapi Dia memberinya kepada para Ulama seperti firmanNya:


يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ ‌

 Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan. 
Al-Mujadalah ayat 11.

Si Dahri bertanya: "Engkau yang akan menjawab soalan-soalanku?" Abu Hanifah menjawab: "Aku akan menjawab dengan taufiq Allah!" Si Dahri pun mula bertanya: "Adakah Allah itu maujud?" Abu Hanifah manjawab: "Ya." Si Dahri bertanya: "Di mana?" Abu Hanifah menjawab: "Allah tiada bertempat!" Si Dahri bertanya: "Bagaimana yang maujud itu tiada bertempat?" Abu Hanifah menjawab: " Dalilnya ada pada diri kamu!" " Si Dahri bertanya: "Mana dia?" Abu Hanifah bertanya balik: "Bukankah kamu ada nyawa?" " Jawab sDahri Memang!" Abu  Hanifah terus bertanya: "Di manakah tempat nyawa atau roh kamu itu? Di kepala kamukah? Atau di perut kamukah? Atau di kaki kamukah?" Si Dahri tercengang-cengang tak tahu nak jawab. Kemudian Abu Hanifah menyebutkan pula tentang air susu sebagai dalil yang lain dengan bertanya: "Bukankah air susu itu mempunyai
minyaknya?" Si Dahri manjawab: "Ya." Abu Hanifah pun bertanya: "Di mana tempat minyak itu di
dalam susu? Di sebelah atas susu atau di sebelah bawahnya?" Sekali lagi si Dahri tercengang-cengang tak tahu nak jawab. Abu Hanifah pun berkata: "Sepertimana roh itu tiada bertempat di tubuh badan dan minyak tidak bertempat di dalam air susu, maka begitu jugalah Allah tiada bertempat di
alam buana ini!" Si Dahri menyoal lagi: "Apa yang ada sebelum Allah dan apa pula selepasNya?"
Abu Hanifah menjawab: "Tiada sesuatu sebelum Allah dan tiada sesuatu selepasNya!"
Si Dahri berkata pula: "Betapa dapat digambarkan sesuatu yang maujud itu tiada sesuatu  mendahuluinya dan tiada sesuatu selepasnya?" Abu Hanifah menjawab: "Dalilnya ada pada anggota
badanmu."
Si Dahri bertanya: "Apa dia?"
Abu Hanifah menjawab: "Tiada sesuatu pun yang mendahului ibu jari tanganmu, dan tiada sesuatu pun yang ada selepas jari kelingkingmu. Begitu jugalah dengan Allah Ta'ala. Tiada sesuatu sebelumNya dan tiada sesuatu selepas- Nya!"

Si Dahri berkata pula: "Tinggal satu soalanku lagi yang mahu aku kemukakan!" Abu Hanifah menjawab: " Kemukakanlah! Insya Allah aku akan menjawabnya." Si Dahri itu pun segera bertanya: " Apakah yang dilakukan Allah Ta'ala sekarang ini?" Abu Hanifah menjawab: "Cara engkau ini tak kena. Sepatutnya orang yang menjawab mesti berada di minbar dan orang yang bertanya berada di bawah. Aku akan jawab pertanyaanmu jika aku berada di minbar dan engkau turun
ke bawah." Si Dahri pun turun dan Abu Hanifah pun naik ke atas minbar. Setelah beliau duduk, Si Dahri itu pun mengemukakan soalannya tadi yang lantas dijawab oleh Abu Hanifah dengan katanya:

"Inilah yang Allah Ta'ala lakukan sekarang, Dia menggugurkan yang bathil seperti kamu daripada atas ke bawah, dan menaikkan yang benar sepertiku daripada bawah ke atas." Si Dahri merasa tertewas dan patah hujjahnya.

Dipetik dari    Zainal Abidin Muhammad al-Fatoni (2004) Aqidah al-Najin. Singapura: Pustaka Nasional Singapura, hh17-20

No comments:

Post a Comment