Saturday, October 30, 2010

Mengenang Tok Su Mek Wa


Mengenang Tok Su Mek Wa
Semalam aku bermimpi wanita hebat ini memangil-manggil namaku supaya menyuap nasi ke mulutnya. Pagi ini hatiku bagai digamit-gamit untuk ku menulis sesuatu tentang wanita ini supaya namanya disebut-sebut di dunia ini dan di beri pahala dengannya atas penyaksian kebaikannya semasa hidup didunia ini. Sabda Nabi:
الملائكة شهدا ء الله في السماء وانتم شهداء الله في الأخرة
Sesungguhnya malaikat adalah saksi Allah dilangit dan kamu wahai manusia adalah saksi Allah di bumi
Wanita ini adalah antara wanita hebat yang dianugerahkan Allah untukku mengenali dan bersama dengannya. Kehebatannya bukan terletak pada kekayaan harta benda kerana dia miskin harta tetapi kehebatannya kerana kekayaan budi dan kasih sayang serta nilai persahabatan yang sangat hebat. Tok su adalah antara rakan rapat ibu ku dan kalau ku boleh ibaratkan jasanya yang suka berkhidmat kepada keluarga ku maka aku boleh letakkan dia sebagai ketua dayang di istana.
Semasa ku kecil tok su mekwa lah antara pengasuhku yang menjagaku dengan penuh kasih sayang. Kerana kasih sayangnya kerapkali bila tiba malam aku pernah confuse untuk tidur dimana. Bila tidur di rumah aku teringat tok su. Bila tidur dirumah tok su aku teringat kat Umi. Mengenalinya banyak mengajarku erti kehidupan kerana dalam sisi hidupnya penuh dengan warna warni manusia yang mempunyai sisi gelap dan sisi putih. Sisi gelapnya aku ambil iktibar, sisi putihnya aku nikmati dengan rasa syukur. Tapi aku yakin sisi putih tok Su akan mengalahkan sisi gelap hidupnya di Akhirat.
Semasa ibu ku sakit dialah yang banyak membantu ibu dalam segala urusan ibu seperti memasak, membasuh baju, mengemas rumah, dia seolah-olah pengganti ibu. Kerana kasih sayangnya kepada ibu dia pernah meminta supaya bila dia meninggal jenazahnya hendaklah dikuburkan berhampiran dengan ibu. Dan harapannya ini sentiasa diulang-ulang walau ibu sudah meninggal, dia juga pernah berkata dia teramat rindu sekali untuk bertemu ibu di sana. Sungguh Tok Su adalah sahabat sejati Inilah yang menyebabkan wanita ini tidak mungkin aku lupakan.
Namun demikian siapalah hak kami berbanding anak kandungnya. Walaupun dia pernah berkata dia sayang padaku lebih daripada anak kandungnya. Setelah dia meninggal anaknya tidak menunaikan wasiat dan harapannya walaupun pada hari kematiannya aku yang ketika itu berada di Perlis mengingatkan wasiat itu kepada anaknya. Akhirnya Tok Su dikebumikan di Kelewek Tanah Merah Kelantan berhampiran dengan rumah anak kandungnya bukan di Kampong Banggol Setol tempat dia menghabiskan sebahagian besar hidupnya yang berwarna warni.
Semalam aku bermimpi tok su memanggil-manggilku. Aku hadiahkan sekalung doa untuknya moga rohnya ditempatkan bersama orang yang soleh. Pada malam kematiannya juga aku bermimpi ruhnya seperti cahaya naik kelangit. Aku ingat bahawa orang yang miskin harta lebih mudah masuk syurga… Dan aku ingat bahawa memberi khidmat kepada orang lain juga adalah sedekah. Dan tok su sebenarnya banyak bersedekah kepada keluargaku dengan tenaganya… Dan aku amat Yakin Allah akan membalas sedekahnya itu dengan sebaik-baik balasan. Al-Fatihah untuk Tok Su Mek Wa ( HAWA):
اَلَّلهُمَّ اغْفِرْلَها وَارْحَمْها وَعَافِها وَاعْفُ عَنْها وَاَكْرِمْ نُزُلَها وَوَسِّعْ مَدْخَلَها وَاَغْسِلْها بِالمَاءِ وَالثَّلْجِ وَاْلبَرَدِ وَنَقِّها مِن الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ ألأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ وَاَبْدِلْها دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِها وَاَهْلآً خَيْرًا مِنْ اَهْلِها وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِها وَاَدْخِلْها الْجَنَّةَ وَاَعِذْها ُ مِن عَذَابِ الْقَبْرِ وَفِتْنَتَهُ وَمِن النَّارِ بِرَحْمَتِكَ يَا اَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ
Ya Allah ampunilah dia, kasihanilah dia, sejahterakanlah dia dan maafkanlah kesalahannya, hormatilah kedatangannya, luaskanlah tempat persemadiannya, bersihkanlah dia dengan air yang sejuk, sucikanlah dia dari sebarang dosa sebersih kain putih. Ya Allah gantikanlah rumahnya didunia dengan rumah dan tempat tinggal yang lebih baik, keluarga yang lebih baik. Dan suami/isteri yang lebih baik . Masukkanlah dia ke dalam syurgamu, lindungilah dia dari api neraka dengan rahmatmu wahai yang amat pemurah dan penyayang.

No comments:

Post a Comment