Thursday, October 28, 2010

Tata Cara Menyambut AidilFitri

AIDILFITRI HARI KEMENANGAN CINTA DAN KASIH SAYANG

Raihaniah Zakaria JAPIM IPGM

Pendahuluan

Aidil Fitri adalah hari kemenangan kepada hamba-hambanya yang beriman. Ia merupakan hari penyampaian anugerah kecemerlangan kepada hambanya yang menunaikan ibadat puasa dengan penuh keimanan dan pengharapan terhadap pahala-pahala yang ditawarkan oleh Allah S.W.T. Program-program yang di pandu oleh Allah S.W.T dan rasulnya untuk diisi pada hari ini adalah program pengukuhan rasa cinta kepada Allah dan sesama manusia yang dapat dihasilkan dari ibadat yang diganjarkan pahala yang besar.

Sabda Rasulullah S.A.W:

إِذَا كَانَ يَوْمَ عِيْدِ الفِطْرِ وَقَفَتْ اَلمَلائِكَةُ عَلَى اَبْوَابِ الطُّرُق فَنَادُوا أَغُدُّوا يَا مَعْشَرَ المُسْلِمِيْنِ اِلَى رَبٍّ كَرِيْمٍ يَمُنَّى بِالخَيْر ثُمَّ يُثِيْبُ عَلَيْه الجَزِيْلَ لَقَدْ أَمَرْتُم بِقِيَامِ الَّليْل فَقُمْتُم وَاَمَرْتُم بِصِيَامِ النَّهَارِ فَصُمْتُم وَاَطَعْتُم رَبَّكُم فَأَقْبِضُوا جَوَائِزَكُم فَإِذَا صَلُّوا نَادَى مُنَادٍ اَلآ اِنَّ رَبَّكُم قَدْ غُفِرَلَكُم فَارْجِعُوا رَاشِدِيْنَ إِلَى رِحَالِكُم فَهُوَ يَوْمُ الجَائِزَةَ وَيُسَمَّى فِى السَّمَآء يَوْمُ الجَائِزَة (رواه الطبرانى)

Apabila tiba Aidilfitri para malaikat akan berdiri di pintu-pintu jalan dan menyeru wahai para muslimin berpagi-pagilah kamu kepada tuhanmu (pergi ketempat solat hariraya) yang akan menganugerahkan kamu dengan kebaikan dan pahala yang besar. kamu diperintahkan untuk Qiam pada bulan Ramadhan telah kamu lakukan kau diperintahkan untuk berpuasa telah kamu lakukan kamu juga mentaati perintah tuhanmu maka pada hari ini terimalah hadiah kamu. Apabila mereka telah selesai menunaikan solat para malaikat menyeru sesungguhnya Tuhan kamu telah mengampuni segala dosa mu maka pulanglah kamu dengan kemenangan dan kegembiraan. Para penduduk langit menamakannya hari ini sebagai hari penerimaan hadiah.

TATA CARA MENYAMBUT AIDIL FITRI DAN SYAWAL MENURUT AL-SUNNAH

Hari anugerah kecemerlangan ini mestilah disi dengan program-program yang hebat yang melambangkan kebesaran hari ini. Pengisian kepada program Aidilfitri ini sebenarnya telah diberi panduan oleh Allah dan Rasul dalam kitabnya yang mulia iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah. Berikut ialah program-progran dan tatacara dalam menyambut AidilFitri sebagaimana yang di anjurkan.

1. Membayar zakat fitrah, sudahkah anda membayar zakat fitrah?. Peringatkan kepada suami dan juga bapa tentang zakat di bawah tangungan masing-masing masing-masing. Pahala puasa tidak akan diangkat ke langit kecuali setelah selesai membayar zakat fitrah. Sabda Rasulullah S.A.W:

صَوْمُ شَهْرِ رَمَضَانَ مُعَلَّقٌ بَيْنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ وَلاَ يُرْفَعُ إِلاَّ بِزَكَاةِ الفِطْرِ (رواه ابو حفص)

Puasa bulan Ramadhan tergantung di antara langit dan bumi. Ia tidak diangkat kecuali setelah mengeluarkan Zakat Fitrah.

Setiap muslim kecil, besar, tua muda yang sempat hidup pada kedua-dua bulan ini iaitu pada akhir Ramadhan dan awal Syawal diwajibkan mengeluarkan zakat fitrah. Hikmah zakat fitrah adalah sebagai pencucian total terhadap dosa-dosa lagha, bercakapan yang sia-sia yang dilakukan sepanjang bulan Ramadhan, ia juga sebagai memberi makan kepada fakir miskin supaya dengan itu menghalang mereka dari meminta-minta pada hari raya Aidil Fitri. Ia juga sebagai tanda syukur kepada Allah atas taufiknya kita dapat menyempurnakan puasa Ramadhan Al-Hamdulillah.

2. Amalan membuat rumah terbuka, membuat biskut dan kek untuk dijamukan adalah amalan yang selari dengan kehendak agama kerana suka menjamu orang lain adalah amalan para Nabi dan amalan calon penghuni syurga. Sabda Rasulullah S.A.W:

أَيُّهَا النَّاس اِفْشُو السَّلاَم وَاَطْعِمُوا الطَّعَام وَصِلُوا الأَرْحَام وَصَلُّوا بِاللَّيْل وَالنَّاسُ نَيَّام تَدْخُلُوا الجَنَّةَ بِالسَّلاَم (رواه الترمذى وابن ماجه والحاكم)

Wahai manusia sebarkanlah salam, jamulah orang makan, sambungkanlah silaturrahim, dan solatlah pada waktu malam ketika manusia sedang tidur, engkau pasti akan masuk syurga dengan selamat

3. Menghidupkan malam hari raya serta paginya dengan zikir dan takbir serta doa-doa yang ma’thur. Malam Aidilfitri adalah antara malam-malam agung yang mustajab doanya, Allah S.W.T menjamin akan sentiasa menghidupkan hati orang yang beribadat pada malam hari raya. Sabda Rasulullah s.a.w:

مَنْ قَامَ لَيْلَتىَ العَيْدَيْنِ، مُحْتَسِبًا لله ، لَم يَمُتْ قَلْبُهُ يَوْمَ تَمُوتُ القُلُوْبُ (رواه ابن ماجه

Sesiapa yang menghidupkan malam hari raya dengan ibadat yang tulus ikhlas untuk mencari keredhaan Allah dan mengharapkan ganjaran pahala, maka Allah akan sentiasa menghidupkan hatinya disaat ramai manusia yang telah mati hatinya.

4. Memakai pakaian yang terbaik dan berwangi-wangian untuk ke Masjid menunaikan Solat Aidil Fitri. Wanita yang haidh juga disunatkan untuk datang ke masjid sekadar berkumpul dan mendengarkan khutbah-Hendaknya wanita yang haidh itu berada diluar dari kawasan solat seperti diberanda, halaman dan sebagainya. Sabda Rasulullah s.a.w:

كُنَّا نُؤْمَرُ أَنْ نُخْرِجَ يَوْمَ العِيْدِ حَتَّى نُخْرِجَ البِكْرَ مِنْ خُورِهَا وحتى نخرج الحيض فيكبرن بتكبيرهم ويدعون بدعآئهم يرجون بركة ذلك اليوم وطهرته (متفق عليه)

Kami diperintahkan oleh Rasulullah S.A.W keluar pada pagi hari raya ke tempat solat, sehingga kamipun diperintah membawa anak-anak gadis dan juga wanita yang haidh sehingga mereka turut mengumandangkan takbir dan berdoa dengan para jemaah supaya mereka juga mendapat habuan dari keberkatan dan kesucian hari tersebut.

5. Disunatkan bersarapan dahulu ala kadarnya sebelum ke Masjid. Sabda Rasulullah s.a.w:

كَانَ رَسُولُ الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم لاَ يَخْرُجُ يَوْمَ الفِطْرِ حَتَّى يَطْعَمَ وَلاَ يَطْعَمُ يَوْمَ الأَضْحَى حَتَّى يُصَلِّيَ.(رواه أحمد والترمذي)

Baginda Rasulullah s.a.w akan makan terlebih dahulu pada hari raya AidilFitri sebelum keluar untuk solat. Manakala pada Hari Raya AidilAdha Baginda tidak akan makan sehingga selesai menunaikan solat.

6. Bersalaman dan berpelukan serta memohon maaf dengan ibu bapa, suami dan isteri, adik beradik. Serta kaum kerabat dan sahabat handai sesama jantina. Sabda Rasulullah s.a.w:

تَصَافَحُوا يَذْهَبُ الغِلَّ وَتَهَادُّوا تَحَابُّوا تَذْهَبُ الشَّحْنَاء ( رواه مالك)

Bersalam-salamlah nescaya akan hilang dengki di antara kamu, salinglah memberi hadiah dan berkasih sayang nescaya akan hilang dendam sesame kamu

7. Ziarah menziarahi kaum kerabat dan sahabat handai serta menyambungkan silaturrahim. Orang yang suka berziarah akan menjadi luas pandangan hidupnya dan dapat mengutip pengalaman orang lain untuk kesejahteraan hidupnya. Ambillah peluang yang mulia ini untuk menziarahi kaum kerabat jauh dan dekat. Sabda Rasulullah s.a.w:

مَنْ اَحَبَّ أَنْ يَبْسُطَ لَهُ فِى رِزْقِهِ وَيَنْسَأَلَهُ فِى أَثَرِهِ فَلْيَصِلُ رَحِمَهُ ( رواه البخارى ومسلم)

Sesiapa yang suka dilapangkan rezekinya oleh Allah S.W.T dan dipanjangkan usianya dalam kebaikan dan kekayaan hendaklah ia menyambung silaturrahim.

8. Menyegerakan Qadha Ramadhan selepas AidilFitri dan disunatkan secara berturut-turut.

9. Berpuasa sunat enam hari dalam bulan syawal. Sabda Rasulullah S.A.W:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ وَأَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّال فَكَأَنَّمَا صَامَ الدَّهْرُ كُلُّه.

Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal, mendapat pahala seumpama berpuasa setahun penuh.

Sekian

No comments:

Post a Comment